Wednesday, 6 March 2013

Rakyat Malaysia di Filipina dinasihat berhati-hati

Insiden bendera Malaysia dibakar di Manila
Kementerian Luar menggalakkan semua rakyat Malaysia di Filipina supaya mengutamakan keselamatan diri berikutan perkembangan terkini di Lahad Datu, Sabah, apabila operasi dijalankan untuk menghapuskan pengganas asing bersenjata.
   
Mereka juga dinasihati supaya lebih berwaspada semasa menjalankan aktiviti harian.
   
Dalam satu kenyataan semalam, kementerian itu berkata Kedutaan Malaysia di Makati City, Manila dan pejabat konsul jeneral di Davao City sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Filipina dalam memantau serta menilai tahap keselamatan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat serta kepentingan Malaysia di Filipina.
   
Ia menyentuh tentang demonstrasi yang diadakan sekumpulan 40 orang di luar kedutaan itu yang bermula pada 10 pagi semalam dan berakhir tanpa kejadian tidak diingini pada 11.30 pagi.
   
Pihak yang berdemonstrasi itu, kata kementerian berkenaan, dipercayai mewakili sejumlah kecil kumpulan setempat yang berhasrat menyuarakan pandangan mereka mengenai keadaan di Lahad Datu.
   
"Kementerian Luar Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Filipina, khususnya Polis Negara Filipina, kerana menyediakan perlindungan keselamatan yang diperlukan kepada Kedutaan Malaysia di Manila dan pejabat konsul jeneral di Davao City," menurut kenyataan itu.
   
Kenyataan itu turut menyebut memandangkan keadaan keselamatan semasa di kedua-dua pejabat perwakilan diplomatik dan kawasan persekitaran berada dalam keadaan tenang dan terkawal, kedua-dua kedutaan itu akan terus dibuka melainkan kementerian memaklumkan sebaliknya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib