Tuesday, 19 March 2013

Rajagopal Kritik FAM Benar Pemain Import Dalam Liga Malaysia

Rajagopal persoal langkah kemasukan pemain import
Menjadi tanda tanya apabila langkah membenarkan pemain import kembali mewarnai kancah bolasepak tempatan memberi impak positif atau sebaliknya.
Persoalan terbabit timbul selepas menyaksikan skuad negara dibelasah 1-4 oleh Arab Saudi dalam aksi persahabatan malam kelmarin dengan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya pada minit ke-70 pada pertemuan di Stadium Shah Alam itu.
“Anda boleh lihat kita tidak mempunyai penyerang yang mampu menjaringkan gol dengan jaringan skuad negara dilakukan Safiq yang bukannya penyerang. Kita perlu sedar dengan situasi ini berbanding lawan (Arab Saudi) yang mempunyai penyerang berkaliber,” kata pengendali negara, Datuk K Rajagobal selepas tamat perlawanan itu, malam kelmarin.
Menurut Rajagobal, skuad negara hanya mempunyai Norshahrul Idlan Talaha sebagai penyerang semula jadi selain Abdul Hadi Yahya yang tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini.
“Pemain lain seperti Mohd Amri (Yahyah) lebih kepada posisi di belakang dan bukannya penyerang semula jadi. Kita tidak mempunyai Safee Sali (gambar) ketika ini (akibat kecederaan) yang boleh disifatkan seorang pemain yang kuat untuk membolehkan kita mengamalkan corak permainan diamalkan sejak dua tahun lalu. Sekarang dia tidak ada dalam skuad kebangsaan.
Safiq(kiri) jaringkan gol hasil hantaran Manaf(kanan)
“Anda boleh lihat liga (domestik) sekarang. Pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Kelantan... siapa penyerang mereka? Kita kena menerima hakikat ini. Tapi, tiada apa yang boleh dilakukan, ini yang berlaku dalam liga, semua pihak boleh memberikan pandangan, namun bukan senang untuk pemain beraksi di pentas berbeza,” katanya.
Selain Norsharul, kem latihan pusat kali ini juga tidak mempunyai penyerang yang mampu memenuhi hasrat pengendali negara itu untuk menggegar kubu lawan menjelang aksi penting menentang Yaman untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang dijadual berlangsung Jumaat ini.
Penjaring tempatan terbanyak Liga Super ketika ini, Mohd Fauzi Roslan dari Pahang yang sudah menjaringkan enam gol diletakkan dalam senarai pemain simpanan selain Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor) dan A Thamil Arasu (Harimau Muda A).
Penyerang import ATM, Marlon Alex James mendahului senarai penjaring keseluruhan ketika ini dengan meledak tujuh gol selain penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jean-Emmanuel Effa Owona yang kini bersama Terengganu, meledak empat gol.
Bagaimanapun Rajagobal melihat sesuatu yang positif dalam aksi bertemu Arab Saudi itu apabila menjelaskan ia memberikan gambaran lebih jelas terhadap pemain yang akan diturunkan apabila menentang Yaman di Stadium Shah Alam nanti.
Beliau turut puas hati dengan persembahan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang pertama kali menyarung jersi negara.
“Saya akan fikirkan (peluang untuknya tersenarai), namun dengan tempoh 45 minit dia diturunkan, saya puas hati dengan persembahannya. Saya turut puas hati dengan aksi penjaga gol Selangor, Norazlan (Razali),” katanya.-harianmetro


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib