Tuesday, 12 March 2013

Plat 1M4U Dibuka Untuk Orang Ramai

Logo 1M4U

Orang ramai boleh membuat bidaan bagi mendapatkan nombor plat khas 1M4U (1Malaysia for Youth) bermula angka 1 hingga 9,999 bermula jam 10 pagi ini sehingga 29 Mac depan. 

Plat khas julung kali diperkenalkan bagi menyokong usaha dan program sukarelawan belia itu ditawarkan bermula pada harga minimum RM500 dan tempoh sah bagi setiap pendaftaran ialah sehingga 31 Disember ini.

Pemohon perlu memuat turun borang menerusi laman web www.platim1u.com sebelum dihantar ke Urus Setia Plat 1M4U di alamat SW-03A-06, Cova Square, Jalan Teknologi, Kota Damansara, PJU 5, 47810 Petaling Jaya. 

Senarai nama keputusan bidaan itu akan diumumkan pada 19 April depan menerusi laman web sama atau dipaparkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju. 

Harga berbeza bagi setiap nombor
Pengarah Perkhidmatan Korporat 1M4U, Azlan Rudy Malik, berkata ini adalah inisiatif terbaru pihaknya bagi mengukuhkan lagi jenama 1M4U kepada masyarakat. 

Pendapatan diperoleh daripada usaha ini katanya, akan disalurkan kepada Tabung Dana Sukarelawan 1Malaysia (Dre1M) untuk tujuan menaja lebih banyak aktiviti sukarelawan belia. 

Orang ramai yang membuat bidaan perlu menghantar draf atau wang pos dengan nilai 50 peratus daripada harga bidaan atas nama 1M4U, katanya pada sidang media di Sri Pentas, semalam. 

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah 1M4U, Datuk Seri Farid Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif 1M4U, Dr Jake Abdullah serta Penolong Pengarah Pelesenan Kenderaan JPJ, Muhammad Asyraf Syahabuddin Shahabuddin. 

Contoh plat siap di kereta
Penjualan siri nombor plat khas itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersempena dengan Persidangan Antarabangsa 1M4U di Taylor's Universiti baru-baru ini. 

Mengulas lanjut, Azlan berkata selepas tempoh bidaan tamat, baki nombor yang masih tidak ditempah akan ditawarkan kepada belia berumur 22 tahun ke bawah dengan harga RM200. 

Katanya, pendaftaran nombor plat khas 1M4U hanya boleh dilakukan di pejabat JPJ Wilayah Persekutuan saja. Nombor plat ini boleh digunakan di seluruh negara kecuali Pulau Langkawi dan Labuan.-bharian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib