Friday, 15 March 2013

Pasukan Polis Khas Siasat Kes Pelancong Amerika Dirogol

Mangsa dikatakan dilarikan oleh pemandu teksi

Polis Selangor menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang dilaporkan disamun dan dirogol pada Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis sedang giat memburu beberapa suspek yang dipercayai terbabit dengan
kejadian itu.

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada kira-kira 5 pagi semalam (kelmarin)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, semalam.

Wanita berusia 20-an itu menaiki teksi dari sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, dekat sini sebelum dibawa ke sebuah lokasi di Sungai Pelek,
Sepang sebelum dirogol.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia memandang serius kes berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak polis bagi mengesan individu terlibat.

Syed Hamid berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu dan pengendali teksi itu jika siasatan mengesahkan dakwaan itu.

Beliau juga meminta orang ramai memastikan teksi yang dinaiki memaparkan kad pemandu di ruangan papan pemuka. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib