Thursday, 14 March 2013

Parlimen automatik bubar 30 April, DUN Negeri Sembilan 27 Mac


Bangunan Parlimen

Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan. 
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu. 

Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, katanya. 

Penggal parlimen akan berakhir 30 april 2013
Aziz berkata, sehingga 30 April itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong. 


Sementara itu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berakhir 27 Mac ini, genap lima tahun tarikh persidangan pertamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008. 

Walaupun kapasiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbatal selepas pembubaran DUN, jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kekal hingga kerajaan negeri baru dibentuk selepas PRU-13. 

Mengulas perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau sudah memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, memaklumkan tiada keperluan untuk membubarkan DUN ketika ini. 

Jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh DUN kita terbubar sendiri, kerajaan negeri akan meneruskan tugas sebagai kerajaan sementara selepas tarikh itu, katanya selepas majlis perjumpaan bersama pegawai kerajaan negeri, di sini semalam.-bharian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib