Wednesday, 20 March 2013

Nasha Aziz Enggan Lakon Watak Sama


Bukan mudah untuk mengorek isi hati wanita bernama Nasha Aziz berhubung soal cinta. Kata-kata yang dilontarkan dari bibirnya lebih berbau kiasan, yang seterusnya menimbulkan pelbagai tanda tanya. 

Biarpun mengetahui aktres yang juga model terkenal ini kurang selesa berbicara mengenai cinta secara terbuka, namun sesekali bertemu dengannya, pasti sia-sia andai soalan itu tidak diajukan sama.

Tidak seperti kebanyakan selebriti lain, Nasha lebih selesa bersikap ‘low-profile’. Maka tidak hairanlah apabila sekali-sekala membuat kemunculan, dia akan menjadi perhatian. 

Sama halnya pada majlis pelancaran drama Maskara terbitan KRU Studios, baru-baru ini. Walaupun drama mega yang bakal menemui penonton TV1 pada April ini turut membariskan pelakon lebih muda seperti Lisa Surihani, Anzalna Nasir dan Adrea Abdullah, namun Nasha juga yang lebih dikejar wakil media. 

Masing-masing cukup berminat untuk mendapatkan penjelasannya mengenai hubungan dengan jejaka muallaf bernama Nur Iman Tang Abdullah. Kononnya, hubungan dengan lelaki berbangsa Cina itu dikatakan sudah berakhir. 

Walaupun mulanya Nasha mengingatkan agar tiada soalan berbaur peribadi diajukan, namun dia tetap bersikap profesional apabila menjawab soalan sedemikian. Jawapannya pula lebih bersifat selamat, justeru, tidak mampu meleraikan persoalan dibangkitkan.

“Kami masih berkawan kerana bagi saya, tali silaturahim antara sesama manusia tidak harus putus. Antara kami tiada permusuhan, malah kami masih menjalin hubungan baik. 

“Bagaimanapun, saya memegang prinsip selagi tiada sebarang ikatan, selagi itu tidak ada apa yang istimewa,” katanya yang terus menimbulkan tanda tanya. 

Aktres kelahiran Kuala Lumpur yang hampir dua dekad bergelar anak seni ini mengakui dirinya sudah puas dengan apa yang dikecapi. 

Diberi kepercayaan membawakan pelbagai watak, malah berjaya membuktikan kemampuan menerusi anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-14, Pelakon Wanita Terbaik FFM ke-17 untuk filem Trauma dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin pada 2008, justeru, kata wanita ini, tiada apa lagi yang perlu dikejar dalam kerjaya lakonan. 

“Saya akan terus bersikap selektif, malah saya berasa sangat puas dengan cara begini. Kerjaya saya bermula sebagai model. Sepuluh tahun dalam bidang itu, saya membuat keputusan untuk mencuba lakonan pula. 

“Pelbagai watak saya cuba termasuklah watak hitam dalam Trauma, malah saya juga merangkul pelbagai anugerah. Jadi apa lagi yang saya mahukan? 

“Saya tidak mahu lagi membawakan watak yang sama demi menjaga hati peminat. Ada peminat mengadu, dia takut dengan watak saya dalam Trauma. Sejak itu, saya tidak lagi mahu watak yang sama. Bagi saya, cukuplah sekali mencubanya. Kini saya mahu bawakan watak yang dapat memberi makanan jiwa kepada masyarakat kerana itulah satu-satunya sumbangan yang dapat saya berikan,” katanya. 

Dia turut memberitahu, sebuah stesen televisyen ada melamarnya untuk menjayakan program ala America’s Next Top Model. Dia mengaku berdebar-debar untuk menggalas tanggungjawab itu, tetapi akan mencari gandingan serasi bagi memantapkan program terbabit.-berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib