Wednesday, 20 March 2013

Menteri Besar Kedah Bakal Bertukar?

Mahfuz Omar
Ura-ura Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dicanang sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak kembali diperkatakan, apabila berlaku beberapa insiden akar umbi menolak kepimpinan Azizan sejak awal tahun ini.

Desas-desus itu dikuatkan lagi dengan tindakan beberapa ahli Pas kawasan mengadakan protes terhadap Azizan bulan lalu, termasuk satu memorandum yang didakwa disokong Dewan Ulama Pas Kedah, termasuk Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Difahamkan, memorandum itu antaranya mahu Azizan dilucutkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas dan Menteri Besar sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), selain nama Ahli Parlimen Pokok Sena itu disebut bakal menggantikan Azizan.

Mengulas dakwaan itu, Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya tidak mengetahui isi kandungan memorandum terbabit, jika benar ia diserahkan kepada Pas Pusat.

“Saya tidak dimaklum mengenai memorandum itu dalam mana-mana mesyuarat parti, malah Dewan Ulama atau Pas kawasan berkenaan tidak tunjukkan pada saya memorandum itu,” katanya, ketika ditemui, selepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Koboi, Jalan Teluk Wanjah, semalam.


Azizan Abdul Razak
Phahrolrazi juga enggan mengulas lanjut dakwaan Azizan bakal digantikan oleh Mahfuz sekiranya Pakatan Rakyat (PR) terus diberi mandat mentadbir Kedah.

“Saya pun tak tahu pasal perkara ini, benar atau tidak,” katanya.

Beberapa blog tempatan turut mengaitkan Mahfuz sebagai dalang kepada usaha menggulingkan Azizan bagi memudahkan beliau menjadi Menteri Besar Kedah.

Gerakan ini didakwa bemula selepas pentadbiran Kedah diletak bawah Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan Pas Pusat, selepas Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menolak dilantik semula jawatan Exco.

Namun, Mahfuz menafikan dakwaan itu malah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak menuduh demikian.

Demonstrasi beberapa akar umbi Pas kawasan termasuk wujud memorandum Dewan Ulama Pas Kedah juga dikaitkan dengan usaha mencantas kerusi Menteri Besar.

Selain Mahfuz, Ahli Parlimen Pendang yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Hayati Osman juga disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar.

Phahrolrazi Zawawi
Mohd Hayati diura-urakan akan bertukar bertanding kerusi Dun Tokai menggantikan Datuk Mohamad Taulan Rasul ataupun Dun Sungai Tiang yang kini diwakili Datuk Suraya Yaacob (BN).

Ini berikutan dakwaan mengatakan Phahrolrazi bukan lagi pilihan, setelah terjebak krisis Exco.

Phahrolrazi baru-baru ini, menyatakan kesediaan memegang jawatan Menteri Besar namun tidak berhasrat melobi jawatan itu.

Bagaimanapun, kenyataan Presiden Pas baru-baru ini menegaskan Azizan masih tersenarai sebagai calon PRU13.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib