Sunday, 17 March 2013

Malaysia ke final hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013

Aksi pemain Malaysia menentang India

Selepas gagal dalam tiga percubaan terdahulu, Malaysia mendapat peluang keempat untuk melakar sejarah merangkul kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama apabila melangkah ke perlawanan akhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam.

Pasukan negara bukan sahaja berjaya melayakkan diri ke final, malah mara bersama rekod tanpa kalah selepas mengikat India 2-2, sekali gus menepati ramalan bertemu juara Piala Dunia 2010, Australia yang mengesahkan tempat di akhir dengan membenam penyandang juara, New Zealand 3-2.

Selepas 21 edisi Piala Sultan Azlan Shah berlangsung, Malaysia belum pernah merangkul kejuaraan, justeru ini merupakan peluang terbaik buat anak-anak buah Paul Revington merubah sejarah, apatah lagi mereka mempamer prestasi cukup meyakinkan sepanjang minggu ini.

Sejak kejohanan diperkenalkan pada 1983, Malaysia yang menghuni tangga ke-13 pada ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pernah menjejak kaki dalam tiga final pada 1985, 2007 dan 2009. Kita kalah kepada India dua kali (1985, 2009), selain dikecewakan Australia pada 2007.

Pemain Malaysia dikepong
Sebaliknya, Australia yang menduduki ranking kedua dunia dan menutup pusingan awal dengan menghuni tangga teratas pernah menjulang kejuaraan enam kali pada 1983, 1996, 2004, 2005, 2007 dan 2011.

Lebih 15,000 peminat membanjiri Stadium Azlan Shah semalam untuk menonton pertembungan Malaysia-India, yang menyaksikan Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti pada minit terakhir untuk memastikan rekod tanpa kalah berjaya dikekalkan.

Terdahulu, Faizal turut cemerlang apabila membuka jaringan Malaysia seawal minit keenam dengan menolak pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol India, P.R Sreejesh.

Namun begitu, India berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 apabila tolakan Mandeep Singh melampaui jangkau penjaga gol, S. Kumar.

Pada separuh masa kedua, Malaysia yang sudah mengesahkan tiket final sebelum turun beraksi menukar corak permainan kepada agak santai bagi menyimpan tenaga, termasuk menukar Kumar kepada Roslan Jamaluddin.

Keadaan itu membuka peluang kepada India untuk memberi tekanan berterusan dan akhirnya mereka berjaya mendapatkan gol kedua melalui pukulan sudut penalti Rupinder Pal Singh pada minit ke-48.

Pemain meraikan kejayaan ke final
Namun begitu pada minit-minit terakhir permainan, Malaysia dihadiahkan pukulan penalti kontroversi dan Faizal menyempurnakannya dengan baik untuk menggegarkan ribuan penonton di stadium.

Terdahulu, Australia turut mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menewaskan New Zealand 3-2 walaupun ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Jacob Smith pada minit ke-27.

Australia menjaringkan tiga gol berturut-turut pada babak kedua, sekali gus memusnahkan impian New Zealand untuk mara ke babak akhir, berterima kasih kepada jaringan Jacob Whetton (minit ke-38 dan 39) serta Matt Gohdes pada minit ke-42.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib