Saturday, 16 March 2013

Kuala Terengganu Jadi Bandar ‘Mini Dubai’ 10 Tahun Lagi

Ahmad Said Melihat model KTCC
Projek pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang akan dibangunkan, bakal menjadikan bandar raya ini ala ‘mini Dubai’ di negara ini, dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, komponen projek KTCC itu akan melibatkan kawasan muara utara dan muara selatan dengan kos RM7 bilion, meliputi pusat gaya hidup bersepadu, pusat komersial serta hab pendidikan dan kesihatan.

Menurutnya, satu daripada projek komersial berimpak tinggi yang bakal dibangunkan di muara selatan KTCC adalah KTCC Mall Sdn Bhd, dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.

“KTCC Mall akan disiapkan dalam masa tiga tahun, manakala di muara utara pula ambil masa lima hingga 10 tahun untuk bangunkan seluruh kawasan itu dari sekarang dan bakal menjadi bandar ‘Mini Dubai’.

“Selain itu, kerja pembinaan ‘KTCC drawbridge’ (jambatan angkat) yang menyambung muara utara dan selatan ini akan ditender pada Jun ini.  Manakala projek pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) setinggi 30 tingkat pula sudah ditutup tendernya.

“Kita turut lantik pemaju bagi pembinaan hotel dan apartmen di kawasan ini, di samping menguruskan projek pelaburan di muara utara,” katanya.

Wilayah Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC)
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah KTCC Mall, di tapak projek bersebelahan lorong Hotel Sumai, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ahmad, rakyat Terengganu bukan sahaja sudah bersedia menerima limpahan kepesatan pembangunan, malah turut ternanti-nantikan pembinaan kompleks membeli-belah yang dilengkapi pelbagai kemudahan hiburan dan riadah, seperti gelanggang boling 48 lorong dan sebuah cineplex yang mengandungi 10 unit skrin.

“Dengan adanya kemudahan boling dan panggung wayang itu, penduduk sekitar terutama dari Kuala Terengganu, tidak lagi perlu ke Kemasek (Mesra Mall, Kemaman). 

“Malah, kejohanan (boling) juga boleh dilaksanakan di gelanggang itu nanti tanpa perlu ke Kuantan,” katanya.

Menurutnya, kewujudan pusat beli-belah yang lebih besar dengan tawaran pelbagai barangan berjenama juga dapat mengelak penduduk ke (pusat beli-belah) Kuala Lumpur.

KTCC Mall merupakan komponen di bawah projek bersepadu KTCC yang dibangunkan ECER di kawasan pesisir pantai Kuala Terengganu dengan keluasan ruang peruncitan 750,000 kaki persegi, Hotel Novotel dilengkapi 250 bilik penginapan dan dua menara yang menempatkan 250 ruang perniagaan mewah secara keseluruhannya.

Bangunan kompleks beli-belah itu dijangka siap pada suku ke empat tahun depan, manakala hotel dan ruang perniagaan mewah dijangka siap 2016.-sinarharian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib