Saturday, 2 March 2013

Kelantan-Perak, ATM-Pahang Dapat Satu Mata

Marlon Alex James

Hanya 2 perlawanan Liga Super yang berlangsung malam tadi. Juara Treble 2012 Kelantan melayan kunjungan Perak dan pasukan ATM dengan Pahang.

Kedudukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tangga teratas Liga Super goyah apabila hanya sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Terikat dengan keputusan tanpa jaringan itu turut menangguhkan hasrat Pahang untuk kembali merampas tampuk liga.

Permainan kedua-dua pasukan seimbang pada babak pertama perlawanan, namun masing-masing gagal mencipta sebarang jaringan daripada percubaan serta peluang.

ATM selaku tuan rumah cuba mendahului pasukan pelawat melalui percubaan lemah Chritiejayaseelan pada minit ke-16 dan rembatan liar pemain importnya, Marlon Alex James pada minit ke-40.

Pahang turut memiliki peluang keemasan menerusi dua percubaan Amirulhadi yang tersasar dan melencong jauh dari gawang tuan rumah pada minit ke-23 dan 39.

Separuh masa kedua perlawanan pula menyaksikan ATM cuba bangkit dengan melakukan asakan bertali arus ke kubu lawan.

ATM hampir memperoleh gol awal, namun tandukan pemain pertahanan Amiridwan Taj terkena palang menerusi sepakan sudut yang diambil oleh Rezal Zambry Yahya pada minit ke-63.

Tuan rumah nyaris menerima padah apabila Fauzi Roslan berjaya mengelecek penjaga gol ATM Md. Farizal Harun, di luar kotak penalti, namun sepakannya diselamatkan Irwan Fadzly Idrus pada minit ke-83.

Keghairahan pasukan pelawat untuk mencari gol hampir menjerat diri dengan membiarkan gawang mereka terus diasak tuan rumah.

Hadi Yahya
Namun begitu, Marlon Alex James dan Shukor Adan yang memperoleh peluang turut gagal memanfaatkannya untuk mencipta jaringan.

Keputusan terikat tanpa jaringan sehingga wisel penamat ditiup pada minit ke-93.

Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan sekadar melakar keputusan seri 1-1 menentang Perak.

Bagaimanapun, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat apabila bekas penyerang kebangsaan, Abdul Hadi Yahya meledakkan gol buat Perak seawal minit ke-2.

Kelantan yang berusaha untuk bangkit gagal memburu gol penyamaan apabila perlawanan berkesudahan 1-0 pada babak pertama permainan.

Sebaik aksi dimulakan selepas rehat, skuad bimbingan Bojan Hodak yang enggan berputih mata di depan penyokong sendiri melipat gandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Penantian Kelantan akhirnya kunjung tiba setelah penyerang import, Keita Mandjou menyumbat gol penyamaan ketika perlawanan berbaki dua minit hampir tamat.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib