Saturday, 30 March 2013

Kelantan Kejutkan ATM, Felda - Selangor Kutip Satu Mata

Aksi ATM dan Kelantan

JUARA bertahan Liga Super, Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam satu aksi penuh dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.
Skuad kendalian Bojan Hodak membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Keita Mandjou masing-masing pada minit ke-28 dan 31.
Begitupun, peledak berbisa skuad The Gladiators, Marlon Alex James menyamakan kedudukan selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 67.
Penyerang gantian The Red Warriors, Norfarhan Muhammad muncul sebagai wira apabila bijak memperdayakan penjaga gol ATM, Farizal Harun untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada masa kecederaan.
Kekalahan ATM itu memberi ruang kepada Selangor yang seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya petang semalam untuk mengambil alih status selaku pendahulu Liga Super.
Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain Gergasi Merah yang sekadar berkongsi satu mata dengan Felda.
Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin Ab Latif dilayangkan kad merah pada minit ke-63 selepas mengasari pemain tengah Felda, Amar Rohidan.
Aksi Felda United dan Selangor
Ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe yang beraksi bersama skuad kebangsaan Liberia memberikan kesan kepada jentera serangan Gergasi Merah.
Pada aksi tersebut, penyerang import Felda, Carlos Junior menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian.
"Forkey mengalami masalah teknikal dan dia akan pulang bersama Selangor pada esok pagi (hari ini). Apa yang pasti, saya kecewa ketiadaan Forkey kerana ia jelas memberikan kesan kepada pasukan kami.
"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan saya berharap kami dapat memperbaiki persembahan kami pada perlawanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan petang semalam.
Dalam perkembangan lain, jurulatih Felda, K. Devan mengakui kecewa selepas menyaksikan skuad kendaliannya gagal meraih tiga mata meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan.
Jelasnya, Felda yang bakal mengambil tiga pemain tempatan antaranya Azmi Muslim dan K. Rajan pada perpindahan pemain April ini, mengalami masalah pada jentera serangan.
"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pada pendapat saya, persembahan kami dilihat lebih baik berbanding Selangor dan peluang (untuk menjaringkan gol) lebih banyak tetapi penyerang kami gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.
"Saya memasukkan (penyerang import) Mohamed Ghaddar pada separuh masa kedua kerana dia masih bergelut dengan masalah kecederaan namun saya terpaksa akur dengan keputusan ini.
"Saya berharap kami akan dapat menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri pada aksi akan datang," ujar Devan.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib