Tuesday, 19 March 2013

Jangan Samakan Fakri Saarani Dengan Nazmi Faiz Mansor

Fakri dan Anuar Musa semasa sidang media semalam
“Kepulangan saya tidak sama dengan Mohd Nazmi (Faiz Mansor) kerana kontrak saya dengan Atletico SC sudah tamat,” kata Ahmad Fakri Saarani.

Penyerang kebangsaan dan Kelantan itu membuat penjelasan itu bagi menjawab persoalan punca kepulangannya untuk beraksi di Liga M dengan menyarung jersi The Red Warriors (TRW).

Penjelasan itu sekali gus menafikan khabar angin mengatakan kepulangannya sama seperti Nazmi yang hanya beraksi enam bulan bersama SC Beira Mar di Portugal selepas dikaitkan dengan masalah kewangan termasuk bayaran gaji murah.

Anak kelahiran Kota Bharu itu berkata, kepulangannya juga tiada kaitan dengan isu bayaran gaji rendah, malah mengaku menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) kerana pengurusan Atletico SC belum membuat keputusan untuk menyambung kontraknya bersama kelab divisyen tiga Portugal itu.

Katanya, penyertaannya dengan Atletico SC di penghujung musim menyebabkan dia tidak dapat beraksi meskipun sempat menjalani latihan kira-kira tiga bulan.

“Ia langsung tiada kena-mengena dengan bayaran gaji rendah. Saya menerima tawaran KAFA kerana Atletico belum membuat keputusan untuk menyambung kontrak saya.

Mahu TRW bangkit
“Kelantan pasukan kuat dan berada dalam kelas tersendiri dan saya patut bersama pasukan ini selepas menerima tawaran,” katanya pada sidang media Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Annuar berkata, kehadiran Ahmad Fakri dijangka dapat mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan juara tiga piala musim lalu itu selain memberi banyak pilihan kepada jurulatih Bojan Hodak untuk membuat pertukaran pemain.

Annuar yang tidak menyatakan jumlah pelaburan untuk mendapatkan Ahmad Fakri berharap Kelantan mampu bangkit untuk memberi cabaran dalam pusingan kedua Liga Super.

“Saya hanya mencari pemain. Tiada rombakan namun hanya ada pengubahsuaian yang akan dilakukan bagi mendapatkan kombinasi pemain terbaik dan urusan itu saya serahkan kepada jurulatih,” katanya.-harianmetro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib