Wednesday, 13 March 2013

Hentikan Bayaran Kepada Sultan Sulu!

Didakwa waris Kesultanan Sulu
Jabatan Peguam Negara disaran supaya mengkaji secepat mungkin berkenaan soal pembayaran wang penyerahan Sabah sebanyak RM5,300 setiap tahun kepada waris Kesultanan Sulu.
   
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata, kajian itu harus dijalankan secara menyeluruh meliputi aspek perundangan antarabangsa dan undang-undang konvensional sama ada pembayaran itu boleh ditamatkan segera.
   
"Kesultanan Sulu telah lama tamat kedaulatan serta komponennya sejak tahun 1878 lagi apabila ia diserahkan kepada saudagar Inggeris.
   
"Malah pada tahun 1903 lagi kuasanya telah diambil alih oleh North Borneo Company yang jelas telah menamatkan kedaulatan mereka dan kita sepatutnya tidak perlu membayar wang ufti lagi.   


Lahad Datu yang tercetus insiden pencerobohan
"Namun 'cession money' atau duit penyerahan oleh kerajaan kita terus lakukan oleh sebab perikemanusiaan walaupun sepatutnya ia tidak perlu dibayar lagi. Ini pandangan saya tetapi mungkin ada yang tidak setuju," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Merakyatkan Seni Budaya Komuniti 1Malaysia 'Menyusuri Sungai Johor" di kawasan Kampung Johor Lama di sini.
   
Katanya, pada masa kini terdapat sembilan cabang keluarga Diraja Sulu dan tidak pasti siapa yang menjadi ketua dan sultan yang sah.
   
Menurutnya, beliau sendiri pernah menjalankan kajian tentang hal itu semasa menjadi Menteri Luar suatu ketika dulu.
   
Bagi memperjelaskan hal itu kepada rakyat di negara ini, katanya, kementerian bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah untuk melakukan jerayawara bagi memastikan mereka benar-benar faham tentang sejarah tersebut.
   
"Pemahaman ini mesti dilakukan demi kedaulatan dan masa depan Malaysia yang berdaulat," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib