Tuesday, 5 March 2013

Hari Ke-4 : Tujuh batalion tentera ke Lahad Datu

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak tujuh batalion tentera dihantar ke Sabah bagi membantu pasukan polis.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima batalion dihantar ke Lahad Datu manakala dua lagi masing-masing di Tawau dan Sandakan.

“Untuk maklumat penduduk Sabah, saya ingin maklumkan bahawa pihak tentera membantu polis sepenuhnya.

“ATM sudah menghantar tujuh batalion yang sedang beroperasi sekarang. Lima batalion di Lahad Datu, satu batalion di Sandakan dan satu batalion di Tawau,” katanya yang dipetik dalam laman Twitternya.

Beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tiba di Felda Sahabat, tengah hari semalam.

Mereka tiba dengan menaiki helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Lapangan Terbang Lahad Datu dan terus ke Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am bagi mendengar taklimat keselamatan pencerobohan Kampung Tanduo.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menurunkan anggota dalam membantu pasukan PDRM menyelesaikan krisis yang berlaku di Sabah.

Beliau berkata, ATM tidak akan campur tangan dalam operasi yang dilakukan PDRM sehingga diberitahu.

"Sehingga kini, ATM bertindak sebagai barisan kedua dalam menangani insiden pencerobohan di Lahad Datu. Saya bukan pihak yang sepatutnya menjawab kerana insiden di Lahad Datu diketuai Kementerian Dalam Negeri dan PDRM," katanya pada sidang media selepas pelancaran buku Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kementerian Pertahanan, semalam.

Abd Latiff berkata, ATM kini bertindak sebagai barisan kedua dalam membantu mengawal keselamatan di pantai timur Sabah dan rakyat di negeri itu.

“Sekarang ini, ia (insiden) di bawah Kementerian Dalam Negeri...PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang diberi kuasa untuk tangani atau ketuai situasi itu.

“Buat masa ini, kami (ATM) hanya dalam keadaan siap siaga. Bila suruh ambil alih, kami ambil alih,” katanya.




Abdul Latif berkata, rakyat berhak mengetahui perkembangan dan maklumat tepat tentang apa yang berlaku di Sabah, namun berharap mereka tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

Sementara itu, di LAHAD DATU, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan penambahan kekuatan logistik taktikal dan batalion dari luar Sabah dalam membantu polis menjaga keamanan di pantai timur negeri ini.

“Kami akan berkolaborasi dengan polis bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya pada sidang media di situ yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Tinjauan di kawasan Felda Sahabat 17 di Lahad Datu mendapati pihak berkuasa keselamatan menempatkan unit kereta perisai di kawasan itu.-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib