Monday, 4 March 2013

GRO Vietnam ditahan tiada dokumen sah

Jabatan Imigresen negeri menahan empat wanita warga asing kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri, di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 12.45 tengah hari yang diketuai Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman itu dilakukan selepas menerima aduan awam serta risikan pihaknya.

Faizal berkata, setibanya di lokasi, pihaknya terpaksa melalui pintu belakang bagi memasuki rumah berkenaan.

“Apabila berjaya memasuki rumah tersebut daripada pintu belakang, kita mendapati empat wanita warga Vietnam terbabit sedang tidur di dalam salah sebuah bilik di dalam rumah berkenaan dan serbuan terus dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Baiduri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita warga Vietnam itu tidak  memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka mendakwa dokumen pengenalan diri disimpan oleh agen bagaimanapun kita mensyaki mereka telah tinggal lebih dua bulan.  

“Daripada pemeriksaan lanjut, kita turut mengesyaki kesemua mereka bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) berikutan menemui sebuah buku tip pusat hiburan di dalam bilik yang didiami,” katanya.

Faizal berkata, operasi ini dilakukan selepas pihaknya menerima aduan dari penduduk sekitar yang curiga dengan kehadiran wanita terbabit.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 30-an itu dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib