Sunday, 3 March 2013

Gadis Lari Dari Rumah

Seorang bapa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak gadisnya yang didakwa menghilangkan diri sejak 15 Februari lalu.

Rizal Che Muda, 42, berkata, ini kali ketiga Nor Farhana Rizal, 15, keluar dari rumah tanpa diketahui puncanya.

Menurutnya, remaja itu berjanji untuk pulang ke rumah pada awal Mac iaitu selepas mendapat gaji namun sehingga kini Nor Farhana tidak muncul.

"Saya dan isteri berasa bimbang dengan keselamatan anak kami. Muka saya sudah tebal untuk membuat laporan polis kerana tindakan anak saya itu.

“Saya mahu dia pulang ke pangkuan keluarga kerana dia keluar sehelai sepinggang, tanpa membawa kad pengenalan diri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rizal berkata, ketika menghubungi Nor Farhana sebelum ini, anaknya itu memaklumkan bekerja di sebuah stesen minyak di Sungai Buloh namun maklumat diberikan tidak lengkap.

Katanya, anaknya itu pernah berhenti sekolah selama setahun sebelum menyambung semula pelajaran di tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini.

“Kali pertama dan kedua dia melarikan diri dari rumah adalah penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. Ketika itu dia mendakwa tinggal di rumah kakak angkat sebelum berjaya dikesan abangnya,” katanya.

Rizal berkata, ketika kali terakhir dia bertemu dengan Nor Farhana, remaja itu meminta izin daripadanya untuk menemani rakannya menghantar barang ke Kampung Nakhoda.

Menurutnya, dia sudah mengambil pelbagai inisiatif untuk menjejaki anaknya itu namun sehingga kini menemui jalan buntu.

Katanya, orang ramai yang  mengenali atau terjumpa anaknya diminta menghubunginya di talian 03-61277501.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib