Wednesday, 6 March 2013

Doktor parah ditetak staf hospital

Keadaan mangsa di hospital
Akibat tidak berpuas hati kerana diarah berpindah ke unit lain, seorang lelaki bertindak menetak Pengarah Hospital Taiping sehingga parah menggunakan sebilah parang sepanjang dua kaki hari ini.
   
Dalam kejadian pada 11.20 pagi di hospital berkenaan, Dr Mohd Yassim Abdul Rahman cedera di badan, kepala dan tangan selepas cuba menahan asakan serta tetakan oleh seorang petugas di Jabatan Pengimejan dan Diagnostik hospital itu yang berusia 53 tahun.
   
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping DSP Leong Wen Yew berkata, kejadian berlaku ketika pengarah itu pergi ke pejabat suspek untuk menemuinya dan mereka dipercayai bergaduh kerana suspek diarah berpindah ke unit lain dan diminta mengosongkan pejabat unit sedia ada.
   
Akibat tidak berpuas hati, suspek beredar dari situ dan kemudian datang semula membawa sebilah parang sebelum menetak mangsa di ruang legar berhampiran Unit CT Scan hospital berkenaan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
   
Beliau berkata pengarah itu yang dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor untuk rawatan lanjut pada pukul 1 tengah hari turut mengalami patah tulang lengan.

Keadaannya dilaporkan stabil. Wen Yew berkata, polis percaya parang itu telahpun disediakan lebih awal kerana difahamkan ketegangan antara mereka terjadi sebelum berlaku insiden hari ini.
   
Suspek melarikan diri sebaik sahaja kejadian itu berlaku dan sehingga kini belum dapat dikesan walaupun polis menjejaki suspek di rumahnya, katanya.
   
"Kami meminta suspek menyerahkan diri kepada polis. Kami percaya suspek tidak pergi jauh," katanya.
   
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda berbahaya lain yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebatan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib