Saturday, 30 March 2013

Cubaan 11 GRO Larikan Diri Berjaya Digagalkan

Sebahagian gro ditahan untuk dibawa ke balai polis
Seramai 11 wanita warga asing bertempiaran lari apabila diserbu Jabatan Imigresen negeri dan Manjung dalam operasi Ops Sayang di sebuah restoran dalam ladang kelapa sawit di Kampung Selamat di sini, malam semalam.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Zali berkata, 11 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di restoran berkenaan berjaya ditahan.

Menurutnya, apabila operasi itu dimulakan, semua wanita berkenaan mengambil kesempatan untuk melarikan diri, namun berjaya ditangkap anggota Imigresen.

“Sebelum ini kami terima maklumat orang awam mengatakan terdapat wanita warga asing sering keluar masuk ke tempat itu.

“Bertindak atas laporan berkenaan pihak kami bersama Imigresen Perak mengadakan operasi yang dipanggil Ops Sayang,” katanya.

Zaidi berkata, dalam operasi itu mereka berjaya menahan sembilan wanita warga Vietnam, dua wanita warga China berumur 18 hingga 44 tahun.

“Kesemua yang ditahan gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Operasi itu disertai 14 anggota Imigresen Ipoh dan 10 anggota Imigresen dari Lumut.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Perak, Ahmed Syam Che Kub berkata, semua yang ditahan itu dibawa ke depoh tahanan di Langkap untuk siasatan lanjut.

“Kami amat mengalu-alukan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Katanya, perkara itu harus dipandang serius kerana situasi berkenaan semakin serius jika tidak dibendung segera.

“Kita tidak mahu perkara ini semakin menular dalam masyarakat dan mengharapkan supaya orang ramai dapat sama-sama membantu membanteras gejala ini,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan) 2010.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib