Thursday, 28 March 2013

'Call girl' Gagal Larikan Diri

Menjadi teman sosial lelaki hidung belang menikmati minuman keras dan boleh diangkut pulang sekiranya bayaran ekstra dibuat.

Itu khidmat ditawarkan wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di dua pusat hiburan di sini.

Aktiviti tidak bermoral gadis genit yang dipercayai turut menjalankan khidmat ‘call girl’ itu tumpas, apabila kedua-dua premis tempat mereka bekerja di Pusat Bandar Puchong, diserbu, awal pagi semalam.

Ketika serbuan, kesemua GRO terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis namun berjaya dikepung anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, operasi bermula jam 12.45 pagi di premis pertama terletak di Jalan Bandar 18.

Hasil pemeriksaan mendapati premis hiburan terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan sah dari MPSJ.

Beliau berkata, lapan wanita warga China tidak mempunyai permit kerja sah dan seorang penjaga premis yang cuba melarikan diri dicekup.

Di premis kedua di Jalan Bandar 19 pula, lima warga China tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di negara ini berjaya diberkas.

“Tindakan sitaan peralatan hiburan dan penutupan premis dikenakan di kedua-dua pusat hiburan terbabit. Operasi berjaya dijalankan setelah menerima hasil maklumat orang awam,” katanya.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Selangor 1995 (2001) kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM25,000.

“Warga asing yang ditahan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi seperti ini  akan dijalankan berterusan bagi mengekang kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Operasi diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd semalam dijalankan secara bersepadu bersama pihak polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib