Monday, 4 March 2013

Bashar terus berdegil enggan berundur


Presiden Syria, Bashar al-Assad menegaskan beliau tidak akan berundur selain mengecam sokongan yang diberikan Britain kepada kumpulan penentang di negaranya.
"Kami bersedia berunding dengan sesiapa sahaja termasuk militan yang menyerahkan diri," kata Bashar memberitahu akhbar Britain, Sunday Times menerusi satu temu ramah yang disiarkan semalam.
Temu ramah itu dibuat di Istana Al-Muhajireen di sini pada minggu lalu.
"Kami boleh berdialog dengan pembangkang, tetapi bukan dengan pengganas," katanya.
Temu ramah itu disiarkan ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon dan Utusan PBB serta Liga Arab, Lakhdar Brahimi bersedia untuk menjadi orang tengah dalam rundingan damai antara Bashar dengan pihak pembangkang.
Penentangan terhadap pentadbiran Bashar mula tercetus pada Mac 2011.
Kebangkitan penduduk yang berjuang dalam pertempuran menentang tentera Bashar itu berlaku kerana mereka marah dengan kepimpinannya.
Bashar dilihat gagal membawa pembaharuan pentadbiran terutamanya seperti isu-isu kebebasan bersuara.
Lebih 70,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran itu.
Bashar menolak idea tentang peletakan jawatannya akan menamatkan pertumpahan darah.
"Jika hujah itu betul, pemergian saya akan menghentikan pertempuran.
"Jelas, itu (idea tersebut) adalah kabur. Beberapa contoh di Libya, Yemen dan Mesir menjadi saksi itu (idea tersebut terbukti salah)," katanya.
Bashar juga menuduh Britain membekalkan senjata kepada para penentang kepimpinannya di Syria.
"Beliau menggelarkan kumpulan penentang di negaranya sebagai pengganas.
Setiausaha Negara Britain, William Hague mendesak Kesatuan Eropah melakukan perubahan terhadap sekatan senjata yang dilaksanakan ke atas Syria.
Menurutnya, perubahan itu akan membolehkan lebih banyak bantuan dihantar kepada Majlis Kebangsaan Syria yang merupakan perikatan penentang anti-Basar.
Sementara itu, hampir 200 askar dan anggota penentang mati dalam pertempuran selama lapan hari di sebuah akademi polis di Aleppo, utara Syria, lapor kumpulan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi semalam.
Menurut kumpulan itu, pihak penentang menawan hampir keseluruhan akademi tersebut. - Agensi

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib