Wednesday, 27 March 2013

Bahaya Cermin Mata Tiruan Kepada Kesihatan Mata


Risiko cermin mata tiruan
Pengguna kaca mata tiruan pelbagai jenama terkenal yang lazimnya dijual dengan harga semurah RM10, berisiko dua kali ganda mengalami kanser mata kerana tidak dilengkapi pelindung, berbanding produk tulen.

Kaca mata hitam tiruan juga mendedahkan seseorang kepada masalah kerosakan penglihatan pada jangka panjang.

Pakar Mata Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Mimiwati Zahari, berkata kanta kaca mata tiruan berkenaan tidak mempunyai tahap saringan atau penapisan cahaya yang ditetapkan.

“Keadaan itu sekali gus menyebabkan ia gagal menahan cahaya UV masuk ke dalam mata terutama ketika panas terik,” katanya.

Menurutnya, kajian di Amerika Syarikat dan Eropah menunjukkan mereka yang memakai kaca mata hitam di bawah sinaran matahari dalam tempoh panjang, berisiko dua kali ganda mengalami kanser mata berbanding mereka yang memakai kanta dilengkapi pelindung.

Antara lambakan cermin mata tiruan di jalanan
Beliau berkata, pengguna terdedah kepada risiko kanser kulit di sekitar kelopak mata akibat penerimaan cahaya berlebihan tanpa pelindung.

“Pemakaian kaca mata terutama berwarna hitam tidak hanya melindungi mata daripada cahaya matahari, malah menghalang sinaran ultra ungu atau ultra violet (UV) dan infra merah.

“Pendedahan secara langsung kepada sinaran UV dan infra merah yang tidak kelihatan secara kasar itu turut memberi kesan kepada pelbagai masalah mata antaranya pterygium iaitu pengumpulan lemak di sekitar mata yang boleh masuk ke dalam bahagian kornea.

“Keadaan itu menyebabkan mata berasa tidak selesa, mudah menjadi merah dan sukar menghilangkan habuk yang melekat. Jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ia boleh menyebabkan kornea tertutup dan menghalang penglihatan,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin..

Menurutnya, kesan radiasi sinaran UV itu turut merosakkan retina dan berlakunya masalah katarak, iaitu penglihatan menjadi kabur.

Sementara itu Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Hatijah Hashim ketika dihubungi semalam, berkata kaca mata murah dipercayai dari luar negara itu hanya diwarnakan gelap atau dicelup dalam warna gelap, sebenarnya tidak berupaya menyerap sinaran berbahaya.

Hatijah berkata, dalam jangka masa panjang, pengguna akan berasa tidak selesa dan memberi tekanan pada penglihatan kerana kesan silau tidak hilang disebabkan cahaya yang menembusi kanta itu berserak dan pecah.

Katanya, pengguna perlu membezakan antara kaca mata murah dengan yang tulen kerana ia penting mengelak risiko terhadap kesihatan dalam jangka panjang.-harian metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib