Saturday, 9 March 2013

ATM, Terengganu Kutip 3 Mata, Pahang Tersungkur

Perak dan ATM
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) kembali merampas kedudukan persada liga apabila mengalahkan Perak 4-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium TLDM, Lumut malam tadi.

Skuad yang terkenal dengan jolokan The Gladiators itu memintas Johor Darul Takzim (JDT) dengan kelebihan dua mata selepas mengutip 18 mata daripada 10 perlawanan.

Bagaimanapun, kedudukan ATM bakal berubah sekiranya JDT mencatat kemenangan apabila bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Dalam perlawanan itu, Perak terlebih dahulu membuka jaringan - minit ke-10 menerusi Karim Rouani dan Shahrom Kalam sembilan minit kemudian.

Namun kegembiraan skuad Perak tidak kekal lama apabila ATM berjaya menyamakan kedudukan menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-21 dan Christie Jayaseelan pada minit ke-42.

Pahang dan PKNS
Marlon Alex James muncul wira pasukan ATM apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-61 dan 85. Di Stadium Darul Makmur, Pahang sekali lagi gagal mengutip tiga mata penuh apabila tewas 1-3 kepada PKNS.

Dengan keputusan itu, Pahang jatuh satu anak tangga - menduduki tangga keenam dengan 14 mata setelah mengharungi 10 perlawanan setakat ini.

Meskipun Pahang berjaya mendahului lawan pada minit ke-25 menerusi R. Gopinathan, namun PKNS berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-55.

Selepas itu, Mohd Nizad Ayub menjadi penjaring kedua buat PKNS pada minit ke-62 sebelum Ronaldinho menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Terengganu dan T-Team
Sementara itu Terengganu menundukkan T-Team 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.

Keputusan itu meletakkan Terengganu kini di tangga keenam dengan mengumpul 14 mata manakala T-Team di tangga ke-10 hasil sembilan mata selepas 10 perlawanan setakat ini.

Dalam perlawanan itu, Faderin Kadir menjadi wira buat Terengganu apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-91 bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.

Pada perlawanan seterusnya, Terengganu akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin dan T-Team bertemu Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 30 Mac ini.

 
Berikut keputusan Liga Super bagi perlawanan ke 10:

Perak 2  ATM  4
Pahang 1 PKNS FC  3
Terengganu 1 T-Team   0

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib