Tuesday, 19 March 2013

6 Suspek Kes Rogol Pelancong AS Direman

Gambar hiasan
Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan kes samun dan rogol seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) di Sepang, dekat sini, pada 11 Mac lalu dengan penahanan enam individu termasuk tiga wanita.

Semua suspek berusia 28 hingga 39 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Balakong dan Pangsapuri Desa Mutiara, Taman Sungai Jelok, Kajang pada Khamis lalu dan terbaru, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, dalam serbuan pertama pada jam 8.30 malam Khamis lalu, polis menahan seorang suri rumah berusia 28 tahun di Balakong selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Katanya, soal siasat terhadap wanita terbabit membawa polis melakukan serbuan kedua di sebuah pangsapuri pada jam 6.30 pagi semalam dan menahan tiga lelaki serta dua wanita.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis di rumah berkenaan menjumpai sebilah pisau dan enam telefon bimbit pelbagai jenis dipercayai hasil samun.

“Polis menjalankan siasatan lanjut mengenai pembabitan semua suspek di dalam kejadian samun dan rogol wanita terbabit selain menyiasat pembabitan suspek dalam kes lain.

“Kami masih meneliti sekiranya suspek yang ditahan ini mempunyai rekod lampau atau tidak dan polis percaya dengan penahanan semua suspek, kes ini dipercayai berjaya diselesai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Mohd Adnan berkata, suspek wanita ditahan di Balakong akan direman sehingga Khamis ini manakala lima lagi suspek akan ditahan reman selepas polis mendapat perintah daripada mahkamah.-harian metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib