Monday, 4 March 2013

2 Kenderaan Terhumban Ke Dalam Longkang


Seorang warga emas dan cucunya berdepan detik mencemaskan apabila kereta mereka terseret beberapa meter sebelum terhumban ke dalam longkang di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian 1 petang itu, kereta Proton Iswara dipandu Sampol Mohamad, 79, bersama cucu, Muhammad Iman Ahmad, 6, dari Kuala Linggi ke pekan dalam perjalanan pulang sebelum terlibat dalam kemalangan.
Difahamkan, kereta dinaiki warga emas itu dihimpit sebuah lori tiga tan penuh muatan kelapa sawit yang dipandu Hairul Abu Bakar, 30, dari arah sama yang hilang kawalan apabila kereta dinaiki mangsa tiba-tiba membelok ke kiri.

Sampol berkata, ketika kejadian dia hendak membelok masuk ke halaman rumahnya sebelum dikejutkan dengan rempuhan sebuah lori dari belakang.

"Kereta saya terseret beberapa meter sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

"Dalam keadaan panik, saya arahkan cucu keluar dari kereta dan segera masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui, semalam.

Manakala Hairul berkata, dia dalam perjalanan ke Ayer Molek terkejut apabila menyedari kereta mangsa tiba-tiba membelok.

"Kebetulan pada waktu itu ada sebuah motosikal di sebelah kanan dan saya terpaksa merempuh kereta mangsa hingga menyebabkan lori melanggar pagar dawai rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesah kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib