Wednesday, 27 March 2013

(11 Gambar) Wan Sharmila Sedang Kenali Hati Seseorang

Kegagalan rumah tangga dulu nyata tidak mematahkan semangat Wan Sharmila untuk bergelar isteri buat kali kedua.
Wan Sharmila akui berkawan dengan seseorang

Biarpun sukar untuk mencari lelaki yang ikhlas dan jujur tatkala dirinya kini berstatus janda, tetapi pelakon ini percaya, akan ada lelaki yang sudi menerima dirinya dengan seadanya.

Mungkin bukan sekarang, namun Wan Sharmila, 32, yakin jodohnya tetap ada. Lalu, tidak hairanlah apabila wanita bertubuh genit ini kini dikatakan cuba mengenali hati budi seseorang.

Enggan mendedahkan identiti lelaki yang sedang bertakhta di hatinya, Wan Sharmila berkata, mereka kini dalam proses berkawan.

“Saya berkawan dengan semua orang dan memang saya sedang mengenali seseorang, tetapi belum sampai ke peringkat serius kerana takut hanya bertepuk sebelah tangan.

“Hidup mesti diteruskan dan kegagalan lalu tidak melemahkan saya untuk menjalinkan hubungan cinta semula. Bohong kalau saya katakan saya takut untuk berumah tangga semula, cuma jodoh yang belum ada,” katanya.

Apabila ditanya apakah si dia juga orang industri, pelakon yang mesra disapa dengan panggilan Lala ini hanya mampu tersenyum dan tersipu malu.

Tidak mahu bercerita panjang mengenainya, Wan Sharmila berkata, biarlah proses perkenalan itu menemui petanda positif terlebih dulu.

“Saya tidak mahu hidup terus dibelenggu kisah silam kerana saya juga seperti orang lain yang mengimpikan rumah tangga bahagia dan mempunyai anak.

“Saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan. Memang sunyi, tetapi dengan adanya orang di sekeliling saya, hidup saya tidak pernah berasa sepi,” katanya.

Perkahwinan lalu bersama penerbit dan pemilik syarikat produksi Radius One, Fazli Baharom, hanya bertahan selama tiga tahun. Mereka bercerai talak satu pada 23 Oktober 2009.

Mengenai namanya yang dikatakan belum menyerlah walaupun dikurniakan bakat yang boleh dipuji, Wan Sharmila mempunyai penjelasannya sendiri.

“Saya tidak pandai buat gosip yang boleh menarik perhatian orang. Sebab itu, ramai yang bertanya adakah saya masih berlakon? Ya, memang saya masih aktif berlakon dan tidak pernah hilang. Cuma, kurang publisiti diberikan menyebabkan peminat tidak nampak.

Antara gambar-gambar Wan Sharmila di bawah.










“Lagipun, saya tidak suka terlalu menonjol kerana tiada cerita untuk dihebahkan kepada umum. Saya tak suka ada gosip atau membuat gosip. Biarlah orang kenal saya kerana bakat, bukannya kontroversi,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama berjudul Aisya Azura di ibu kota, baru-baru ini.

Diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama sulung terbitan Zasyaz Production Sdn Bhd itu, Wan Sharmila memberitahu, banyak cabaran ditempuhinya dalam drama yang turut dibintangi Ryzal Jaafar, Fauzi Nawawi, Qazem Nor, Delimawati dan Mubarak Majid ini.

Bukan saja sukar untuk membawakan watak gadis lincah dan kasar, dia juga terpaksa belajar menunggang motosikal berkuasa tinggi dan berperwatakan seperti lelaki yang akhirnya berubah selepas bertemu seorang pemuda.-berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib