Thursday, 14 February 2013

(Video & Gambar) Real Madrid Dan Man United Sama Hebat!


Cristiano Ronaldo menyelamatkan maruah Real Madrid daripada diaibkan Manchester United selepas menanduk masuk hantaran lintang rakan sepasukan pada separuh masa pertama bagi mengikat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini 1-1 di Stadium Bernabeu. 

Penyerang muda Manchester United, Danny Welbeck mengejutkan pasukan tuan rumah dengan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-20 susulan sepakan sudut yang diambil Wayne Rooney. 
Keputusan perlawanan pusingan pertama antara kedua-dua pasukan itu menyaksikan Manchester United memiliki kelebihan menjelang perlawanan pusingan kedua di Old Trafford pada 5 Mac ini. 



Dalam pada itu penjaring gol Real Madrid, Cristiano Ronaldo mengakui berdepan dengan bekas pasukan yang disertainya sebelum ini, Manchester United dalam perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah adalah pengalaman yang penuh dengan emosi. 

Penyerang dan pemain sayap Real Madrid serta Portugal itu mula menempa nama sebagai salah seorang pemain terbaik dunia ketika beliau beraksi bersama Manchester United selama enam tahun di Old Trafford, dan kemudian berhijrah ke Sepanyol pada 2009. 

Ketika menjaringkan gol penyamaan awal pagi tadi bagi perlawanan bola sepak pusingan pertama di Stadium Santiago Bernabeu, pemain berusia 28 tahun itu tidak meraikan jaringannya. 

Ronaldo tidak meraikan jaringannya bagi menghormati bekas kelab yang disertainya sebelum ini, dan hanya sekadar memberi penghargaan kepada peminat Real Madrid. 

"Saya bersama Manchester selama enam tahun. Jadi malam ini sangat menyentuh perasaan saya. Saya menjaringkan gol, tetapi tidak meraikannya bagi menghormati (Manchester United). 

"Mungkin Manchester adalah pasukan pilihan ketika ini, mungkin tidak, apa saja boleh berlaku. Ada ketikanya kami (Real Madrid) beraksi lebih baik di tempat lawan berbanding di laman sendiri. Jadi kita lihat nanti. 

"Ia adalah sesuatu yang menakjubkan untuk beraksi di Old Trafford sekali lagi selepas empat tahun. Ia pasti menjadi malam yang menyentuh perasaan," katanya di sini, selepas perlawanan pagi tadi. 
Sementara itu, dalam temuramah selepas perlawanan, Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengulas mengenai Ronaldo. 
"Saya berbual dengannya dan kini beliau berada di bilik persalinan kami dan sedang berbual dengan pemain lain (Manchester United)," katanya. 

Alex Ferguson berkata, Ronaldo bersama Manchester United untuk enam tahun dan beliau sangat bangga dengan pencapaiannya. 

"Saya menyalahkan Patrice Evra kerana tidak mencabar bola itu sehingga membolehkan jaringan gol dilakukan. Selepas melihat semula ulangan jaringan itu dan merasakan ia adalah sedikit bodoh. 

"Lutut Ronaldo pada ketinggian yang sama dengan kepala Evra, ia adalah luar biasa. Saya merasakan tidak pemain lain di dunia mampu melakukannya, yang pasti ia tidak dapat dilakukan Messi (Lionel)," katanya. 

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib