Tuesday, 12 February 2013

TSAM Mahu Kelantan Kembalikan Prestasi Terbaik Juara Treble


Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang bimbang dengan kemerosotan prestasi The Red Warriors (TRW) menuntut pemain berpengalaman supaya memainkan peranan penting dalam mengembalikan status pemenang tiga kejuaraan itu selaku pasukan disegani. 

Menurutnya, pengalaman mereka amat ditagih dalam mencorakkan semula rentak pasukan yang ketika ini hanya mengumpul enam mata untuk sekadar menduduki tempat ketujuh selepas lima perlawanan Liga Super. 

“Memang kita masih belum dapat atasi masalah ini dan pemain itu sendiri perlu akui keadaan yang dialami sekarang.  Semangat juang tinggi kena lebih daripada benda lain. 

“Ini dapat dilihat dalam perlawanan terdahulu apabila rentak permainan sentiasa berubah. Contohnya, ketika menentang Johor Darul Takzim, corak permainan dipamerkan cukup baik, tetapi sebaliknya ketika kita lawan FELDA United,” katanya semalam. 

Tahun lalu, skuad kendalian Bojan Hodak jelas berada di tahap terbaik untuk merangkul tiga trofi - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia - namun gagal menyerlah dalam lima perlawanan setakat ini. 

Situasi sukar itu terpaksa dilalui selepas kehilangan dua penyerang prolifik di barisan depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamad Ghaddar yang berpindah ke pasukan baru, Johor Darul Takzim dan FELDA United Lebih perit selepas kehilangan dua tonggak itu, keputusan Hodak memasukkan penyerang import, Keita Mandjou langsung tidak membantu apabila dilanda kemelut masalah prestasi dan kecederaan, manakala pemain lain dilihat kurang bernafsu setiap kali mendapat peluang. 

“Apa yang penting, kita perlu bangkit bagi membuktikan Kelantan belum hilang ‘taring’,” katanya.
-bh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib