Saturday, 9 February 2013

Shahidan Kassim Bakal Ikut Jejak Annuar Musa


“Datuk Seri (Shahidan Kassim) (gambar) berkeras tidak mahu membalas surat pertuduhan diterimanya kerana mahu mengadap Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan Majlis Tertinggi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Ammar Hassan mengenai surat jawapan pertuduhan yang perlu dijawab Shahidan sebelum jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, Shahidan selaku Presiden PFA sebelum ini memutuskan untuk tidak menjawab surat pertuduhan FAM kerana mahu ia diselesaikan seperti adik-beradik dan bukan seperti di mahkamah.

“Pihak PFA juga dimaklumkan Shahidan dan saya akan bertemu pengurusan tertinggi FAM termasuk Presiden, Sultan Ahmad Shah selepas baginda selesai menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Kami akur dengan tiga pertuduhan itu dan jika FAM masih mahukan surat jawapan, PFA minta mereka beri tempoh lebih lama,” katanya.

Menurutnya, mereka tidak mahu membincangkan perkara ini ketika Sultan Ahmad Shah menjalani rawatan kerana tidak mahu memburukkan suasana.

Ammar berkata, beliau difahamkan, Shahidan hanya menghantar surat peletakan jawatan kepada Sultan Ahmad Shah namun belum menjawab surat mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad. “Beliau hantar surat peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kewangan (AJK) FAM dan AJK Bola Sepak Wanita FAM pada hari sama menerima surat pertuduhan sebelum melantik peguam bagi mewakilinya dalam soal ini.

“PFA tetap dengan pendirian mahu melihat kemajuan dalam bola sepak Malaysia dan tidak mahu memburukkan keadaan.” Sementara itu, Ammar berkata, pihak PFA juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan beberapa isu dalam masa terdekat dan akan menggariskan dua perkara penting.

Katanya, yang pertama, pihaknya mahu menggariskan perkara membabitkan kes berkaitan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KFA) Tan Sri Annuar Musa dan FAM di selesaikan di luar mahkamah.

Menurutnya, perkara kedua ialah berkenaan pertuduhan diterima Shahidan dan mahu ia diselesaikan seperti adik-beradik kerana ia berlaku berikutan salah faham dan pertama kali dilakukan beliau.

Jumaat lalu, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar, menerima surat pertuduhan daripada badan induk itu yang mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM. Shahidan juga ketika ditemui mengaku menerima surat pertuduhan terbabit dan tidak akan menjawabnya. Bagi pertuduhan pertama, beliau berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Status FAM.

Untuk pertuduhan kedua, beliau berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM. Bagi pertuduhan ketiga pula, Shahidan melalui artikel sama dituduh membuat kenyataan bercanggah, mempertikaikan, mempersoalkan, atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014. Bagi pertuduhan ini beliau berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000. Surat itu turut menyatakan Shahidan diberi tempoh hingga jam 12 tengah hari 8 Februari ini untuk memberi maklum balas.

Kes Shahidan Kassim ini mempunyai unsur-unsur persamaan dengan  kes yang menimpa Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa tahun lepas. Tan Sri Annuar Musa telah didapati bersalah atas dua pertuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).Jawatankuasa Tatatertib sebulat suara memutuskan Tan Sri Annuar Musa bersalah dan digantung untuk tempoh dua tahun setengah kerana mengkritik prestasi semasa Skuad kebangsaan kendalian jurulatih Datuk K. Rajagopal.
-metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib