Thursday, 28 February 2013

Salih Yaacob Mintak Maaf Dan Mahu Bersara


Penyampai radio, pelawak serta pengacara terkenal, Salih Yaacob, 52, mengambil keputusan untuk menarik diri daripada dunia hiburan ekoran penyebaran cereka pendek di laman YouTube berjudul Bangkang dari Longkang .

Cereka pendek berdurasi kira-kira tiga minit yang memaparkan situasi di sebuah ceramah parti politik itu turut disertai seorang lagi rakan pelawaknya, Nabil Ahmad.

Kesannya, Salih mendapat kritikan meluas daripada pihak penyokong parti pembangkang, bahkan stesen radio Sinar FM turut diugut untuk diboikot.

"Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada peminat.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat di dalam bidang hiburan selepas ini. Soal kerjaya sebagai penyampai radio pula saya serah semuanya kepada pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ditanya tujuan sebenar pembabitannya di dalam cereka pendek berkenaan, menurut Salih, pada mulanya dia hanya diberitahu rakaman tersebut sekadar sitkom biasa, malah skrip juga hanya diberikan beberapa jam sebelum rakaman dimulakan.

"Ini salah saya juga. Saya tidak boleh marah sesiapa, secara jujurnya saya tidak menyokong mana-mana pihak.



"Mungkin penyebaran video ini pada ketika negara kita bakal berdepan pilihan raya menyebabkan impaknya agak berat buat saya. Bagaimanapun sekali lagi ingin saya tegaskan saya tidak berada di dalam mana-mana parti," katanya.

Menjawab soalan perancangan masa hadapan, Salih menjelaskan niat untuk berhenti daripada bidang ini sudah terdetik di dalam pemikirannya sejak beberapa tahun lalu.

"Saya memang berniat untuk berhenti terus daripada terlibat dalam bidang hiburan sejak beberapa tahun lalu, mungkin ini petanda yang jelas untuk keputusan tersebut.

"Soal meneruskan kehidupan, saya akan mencari jalan untuk keluarga. Ketika ini juga saya sudah memulakan perniagaan kecil-kecilan," katanya.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib