Tuesday, 26 February 2013

Rita Rudaini Tidak Mahu Berserai Dan Mahu Penjelasan Aidil


Pelakon Rita Rudaini, 37, tetap dengan pendiriannya tidak mahu bercerai dengan suaminya, Mohammad Aidil Zafuan Abd. Radzak, 26, selagi dia tidak mengetahui apakah kesalahannya serta alasan kukuh sebab-sebab bintang bola sepak Kebangsaan itu ingin berpisah.
Malah pemilik nama sebenar Rita Rudaini Mokhtar, tidak terkejut apabila Aidil mengemukakan hasratnya di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, semalam kerana ini bukan pertama kali suaminya itu bertindak sedemikian. Sebelum ini Aidil telah memfailkan penceraian terhadap Rita, tetapi menarik balik permohonan tersebut pada Mei tahun lalu di mahkamah sama.

Menurut Rita dia juga tidak terkejut apabila Aidil sanggup memberitahu hakim mahkamah bahawa dia sudah tidak menyayangi isterinya lagi.

"Saya tak terkejut bila dia kata nak bercerai. Sebelum ni dah banyak kali dia cakap macam tu. Saya juga tak terkejut bila dia cakap dia tak sayangkan saya lagi. Selagi dia suami saya yang sah, saya sayangkan dia.

"Kalau dia nak bercerai, tolong ikut prosedur yang yang betul. Perkara ni bukan boleh dibawa main. Nanti kalau menyesal, semuanya sudah tidak berguna lagi" katanya kepada Malaysian Digest.com ketika ditemui di luar mahkamah sejurus selesai prosiding, semalam.
                                
Ditanya pula mengenai tindakan Aidil mendedahkan di depan hakim bahwa sebelum ini Rita pernah meminta cerai daripadanya sebanyak dua kali, pelakon drama bersiri Sehangat Asmara ini membidas,

"Tak benar! Apa yang dia beritahu itu tak betul. Kalau betul saya pernah minta cerai daripadanya, kenapa waktu itu dia tidak ceraikan saja?"

Tambah Rita lagi, dia berbuat demikian kerana enggan Aidil lepas tangan daripada tanggungjawabnya sebagai bapa kepada dua anak lelaki mereka iaitu Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2. Rita turut memberitahu Aidil pernah menfailkan saman dan mahu mengambil anak-anak mereka daripadanya sedangkan dia membenarkan pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu datang menjenguk anak-anak mereka.

"Saya hanya mahu pertahankan hak anak-anak. Selama ini dia tak bertanggungjawab terhadap anak-anak. Dia yang lari tinggalkan saya dan anak-anak.
 
"Bukan saya tidak bagi dia tengok anak, saya bagi. Tapi saya bila saya bagi, dia pula failkan saman terhadap saya dan nak ambil anak-anak.

"Sejujurnya anak-anak tak pernah tanya pada saya tentang daddy mereka. Saya ada tunjukkan gambar Aidil pada mereka, tunjukkan di televisyen tapi anak-anak tak mahu dengar. Tak kan saya nak paksa anak-anak saya pula. Mereka kecil lagi, belum tahu apa-apa", katanya.

Disebabkan tiada persetujuan daripada Rita, mahkamah menunda kes pasangan itu dan menetapkan tarikh baru iaitu 8 Mac 2013 bagi membolehkan kedua-dua pihak melantik Jawatankuasa Khas Pendamai di Pejabat Agama Islam, Daerah Seremban.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.-malaysiadigest

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib