Wednesday, 13 February 2013

Real Madrid Mahu Hancurkan Ego MU


Dua kelab terkaya dunia, Real Madrid dan Manchester United bakal membuat perhitungan pada aksi kalah mati pertama Liga Juara-Juara di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Pengendali Real, Jose Mourinho yakin perlawanan itu akan menjadi pertemuan paling dinanti-nantikan oleh para peminat seluruh dunia.
"Seluruh dunia pasti tertumpu pada pertemuan itu dan ia membayangi perlawanan-perlawanan lain pada kempen Liga Juara-Juara. Jadi, saya berharap ia akan memberikan kepuasan maksimum kepada para penonton," kata Mourinho.
Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berjaya menyuntik keyakinan anak-anak buahnya sebelum bertandang ke Sepanyol itu.
Skuad The Red Devils memperoleh keyakinan yang tinggi selepas mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana England dengan kelebihan 12 mata setelah menewaskan Everton 2-0, Ahad lalu.
Pertemuan itu turut menjadi episod baharu terhadap 'perang' antara dua individu paling berpengaruh dalam dunia bola sepak moden dan kali terakhir dimenangi Ferguson yang menang 2-0 secara agregat ke atas Inter Milan yang dibimbing Mourinho pada musim 2008-09.
Ketika ini, Real yang ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona dan Mourinho perlu menghadiahkan trofi ke-10 Liga Juara-Juara jika ingin menutup mulut para pengkritiknya di Sepanyol musim ini.
Pengendali kelahiran Portugal itu menghadapi musim yang tidak menentu selepas dia sering bertikam lidah bersama para pemain-pemain di bilik persalinan.

Bagaimanapun, salah seorang pemain berpengaruh Real, Sergio Ramos menegaskan bahawa ketegangan itu sudah berakhir dan semua pemain bermotivasi tinggi untuk menewaskan United.
"Semua berita yang tersebar mendakwa kami sering 'berperang' dalam bilik persalinan adalah tidak benar.
"Jika terdapat masalah dalam bilik persalinan atau hubungan kami dengan pengurus, semua itu hanyalah spekulasi semata-mata," jelas Ramos.
Sementara itu, kemunculan Cristiano Ronaldo paling ditunggu-tunggu pada perlawanan itu kerana dia akan bertemu bekas kelab yang banyak berjasa dan menaikkan namanya.
Ronaldo berada pada prestasi terbaik selepas meledakkan hatrik untuk membantu Real menewaskan Sevilla 4-1 pada aksi Liga Sepanyol, Sabtu lalu.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib