Sunday, 10 February 2013

Punca Claudia Mati Didedahkan


Punca kematian penerbit berita Inggeris portal berita Al-Jazeera berpangkalan di Doha, Qatar yang berasal dari Malaysia, Claudia Theophilus terjawab apabila dia tertembak oleh kekasihnya sendiri dalam kejadian tidak disengajakan pada 2 Februari lalu.
Kejadian itu berlaku ketika kekasih Claudia dikenali sebagai Nabil yang terkejut melihat penerbit itu bermain- main dengan senapang A-Rifle 12 milimeter berkenaan, bertindak merampas senapang itu untuk mengeluarkan pelurunya.
Bagaimanapun, senjata itu meletup ketika kekasih Claudia mahu mengeluarkan peluru dari senapang itu.
Kejadian malang itu berlaku pada pukul 2.30 waktu tempatan (pukul 8.30 pagi waktu Malaysia) selepas mereka menyediakan juadah di dapur rumah lelaki berkenaan.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, hal tersebut disahkan polis Lebanon kepada Dora Theophilus, 36, ketika adik mendiang itu berada di sana dalam misi membawa pulang mayat Claudia dari Beirut.
“Kejadian yang berlaku amat malang kerana ia berpunca daripada kelalaian kekasih Claudia semasa dia hendak mengeluarkan peluru daripada senapang,” kata Muhd. Khairun pada sidang akhbar ketika menunggu ketibaan mayat mendiang Claudia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.
Mayat mendiang dibawa dengan pesawat EK342 Emirates Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.
Misi membawa pulang mayat Claudia, 42, diketuai oleh Penolong Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, Khairil Anuar Ahmad.
Muhd. Khairun menjelaskan, sebelum kejadian berlaku, kekasih Claudia berada di bahagian hadapan rumah manakala Claudia bermain-main dengan senapang berkenaan di dapur.
“Lelaki itu terkejut melihat kekasihnya bermain-main dengan senjata berkenaan dan kemudian bertindak merampas senapang itu untuk mengeluarkan peluru.
“Bagaimanapun, senapang tersebut tiba-tiba meletup dan pelurunya mengenai tepat ke bahagian abdomen Claudia,” ujarnya sambil memberitahu Claudia berada pada jarak kira-kira dua meter daripada lelaki itu.
Menurutnya, lelaki tersebut dan seorang lagi rakan lelakinya yang turut berada di tempat kejadian terus menghubungi ambulans.
Bagaimanapun, menurutnya, Claudia mati sebaik tiba di hospital akibat mengalami pendarahan yang teruk.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Claudia mati dalam insiden tembakan secara tidak sengaja yang berlaku pada 2 Februari lepas.
Dia yang juga pernah berkhidmat di akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini sebelum ini dikatakan pergi ke Lebanon untuk bercuti di sebuah kawasan pergunungan bersama teman lelakinya dan seorang lagi rakan mereka.
Muhd. Khairun menambah, teman lelaki Claudia yang merupakan rakyat Lebanon kini ditahan polis untuk siasatan lanjut sementara rakan mereka telah dibebaskan.
Menurutnya, polis Lebanon mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kemalangan akibat kelalaian namun siasatan masih dijalankan.
Katanya, mayat mendiang kakaknya akan dikebumikan di tanah perkuburan Church of Visitation, Seremban, Negeri Sembilan esok.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib