Sunday, 24 February 2013

Penyu Tersenyum, Pahang - Kelantan Seri


Penyerang Terengganu, Ashari Shamsuddin muncul wira apabila dua golnya membantu skuad Penyu membenam Tentera 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.

Lebih manis, pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan, hasil rembatan deras dari luar kotak penalti.

Pemain yang lebih mesra dengan panggilan 'Saha' itu turut membantu Mohamad Khairul Ramadhan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 selepas melakukan hantaran cantik.

Bagaimanapun, penyerang import Tentera, Marlon Alex James menyamakan kedudukan 1-1 dengan menanduk masuk tendangan sudut pada minit ke-74.

Saha sekali lagi menjaringkan gol menerusi sepakan kencang ketika kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke-80, selepas pertahanan kiri Terengganu, Zubir Azmi menyempurnakan tendangan sudut.

Seminit sebelum perlawanan berakhir, pemain pelawat, D Christie Jayaselan menceriakan sekumpulan kecil penyokong setia The Gladiator yang hadir apabila menjaringkan gol menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan penjaga gawang gantian tuan rumah, Wan Azraei Wan Teh.

Kemenangan itu menceriakan pengendali Penyu, E Elavarasan yang begitu berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan anak buahnya biarpun beraksi tanpa dua awang import, Vincent Bikana dan Effa Owana.

"Ini yang kita mahukan kerana tidak kira siapa yang diturunkan, mereka mampu menggalas tugas yang diberikan. Saya harap mereka mengekalkan rentak ini untuk perlawanan seterusnya.

"Saya kagum dengan pemain yang begitu menunjukkan komitmen dan semangat yang jitu untuk meraih kemenangan. Kejayaan ini juga akan membantu mereka lebih bersemangat sebelum menghadapi Piala FA nanti," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Tentera, B Sathianathan sukar menerima keputusan itu dan menyifatkan anak buahnya mempamerkan permainan teruk.

"Apa pun, tuan rumah wajar menang pada perlawanan ini kerana mereka bermain cukup baik daripada kita," katanya.


Dalam satu lagi perlawanan, Kelantan melepaskan peluang untuk memungut tiga mata biarpun Pahang beraksi dengan 10 pemain apabila kedua-dua pasukan seri 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darulmkamur, malam tadi.

Akhirnya penyerang kebangsaan, Norfarhan Muhammad mengubah kedudukan 1-0 apabila tandukannya menerjah gawang untuk menewaskan Nasril pada minit kelapan.

Bagaimanapun, pada minit ke-61, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Hafiz dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain pertahanan Kelantan, Mohd Zamri Ramli.

Pada minit ke-83, tandukan Mandjou menjaringkan gol kedua buat pasukannya tetapi selang seminit kemudian, Fauzi menyamakan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.-berita harian,gambar ganusoccer.net

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib