Monday, 11 February 2013

Melayu Paling Ramai Terlibat Judi

Usaha berterusan pihak polis untuk memerangi kegiatan judi internet di negeri ini tidak akan berkesan  sekiranya orang ramai terutama kaki judi terus mendekati dan ketagih dengan kegiatan itu.

Kegilaan kaki judi untuk ‘kaya’ melalui pertaruhan mereka di premis judi internet ini antara faktor yang mendorong segelintir pengusaha kafe siber sama ada berlesen atau haram mencabar undang-undang dengan menyediakan permainan berunsur perjudian di premis mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, lebih malang lagi, kebanyakan kaki judi yang berkunjung ke pusat-pusat itu adalah orang Melayu beragama Islam.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana  ajaran Islam jelas melarang umatnya mendekati atau berjudi.

“Dalam beberapa serbuan yang dijalankan, ada segelintir pekerja atau penjaga premis terlibat juga di kalangan orang Melayu.

“Jika tertangkap penjaga dan pemain akan berdepan hukuman tetapi dalang utama dalam kegiatan itu bergembira dengan pulangan lumayan hasil kegiatan haram yang dijalankan,” katanya.

                                     

Sharifuddin berkata, ibu bapa, pihak sekolah dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan mendidik terutama generasi muda supaya menjauhi aktiviti perjudian kerana gejala ini bukan sahaja bertentangan dengan syariat tetapi penyumbang kepada perlakuan jenayah yang lebih serius.

“Akibat ketagihan boleh menyebabkan seseorang kaki judi terjebak dengan peminjam wang haram, mencuri, merompak malah ada yang sanggup menggadaikan harta untuk tujuan berjudi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya banyak menerima maklumat berhubung kegiatan ini dan operasi demi operasi secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, syarikat tenaga, syarikat bekalan air dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan di seluruh negeri.

“Di Kuantan misalnya, sebanyak 622 serbuan dijalankan dan hasilnya 7,307 set komputer dianggarkan bernilai RM7.3 juta berjaya dirampas tidak termasuk wang tunai RM196,850 sepanjang Januari 2012 hingga 22 Januari tahun ini.

“Dalam tempoh itu, polis Kuantan juga berjaya menahan 2,642 individu termasuk pemain dan penjaga premis untuk siasatan,” katanya.
-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib