Thursday, 14 February 2013

Konsert Psy Tidak Guna Duit Kerajaan


Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagunya Gangnam Style, menyatakan mereka tidak pernah diminta atau dibayar kerajaan Malaysia untuk persembahan penyanyi itu di Pulau Pinang, Isnin lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada pemberita semalam, pengurusan itu menegaskan bahawa berita dan artikel yang tersebar dalam internet, yang mendakwa sebaliknya, adalah anggapan semata-mata dan ternyata tidak benar. 
"Scooter Braun Projects ingin menegaskan kami tidak pernah diminta atau dibayar kerajaan Malaysia untuk persembahan artis itu di Pulau Pinang, Malaysia baru-baru ini," menurut kenyataan itu. 

Pengurusan itu turut menafikan dakwaan di beberapa blog kononnya kerajaan Malaysia menaja persembahan artis itu pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia di Pulau Pinang.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan persembahan Psy itu tidak membabitkan wang rakyat.

Beliau juga berkata, orang ramai tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk menonton persembahan artis yang turut mempopularkan gaya tarian lagunya itu. 
Persembahan Psy ialah kemuncak majlis yang dihadiri ribuan orang anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang, di Han Chiang College.
-Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib