Saturday, 16 February 2013

(Video) Kemenangan Pertama Liga Super Terengganu


Selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan daripada lima aksi Liga Super sebelum ini, skuad Penyu akhirnya mengutip mata kemenangan dengan menundukkan Perak 2-0 di sini, semalam.

Namun tiga mata pertama skuad Penyu dicemari dengan insiden pergaduhan yang memualkan pada penghujung perlawanan dan akibatnya dua pemain dibuang padang.
Biarpun bermula dengan agak perlahan dan lebih banyak membiarkan pelawat menguasai perlawanan, anak didik E.Elavarasan berjaya mempamerkan aksi bertenaga kemudiannya.

Gol yang dicari-cari akhirnya menjelma pada minit ke-12 selepas Ashaari Samsudin bijak mengawal bola umpanan pemain import, Jean-Emmanuel Effa-Owona sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Seladang, Mohd. Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, Perak cuba bangkit namun gagal menembusi kubu tuan rumah, yang kental bertahan sehingga separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali menggandakan serangan dalam usaha untuk menambah jaringan.

Hasilnya, tidak sampai seminit babak kedua, Owona pula mencipta nama selaku penjaring gol Terengganu selepas menerima hantaran jauh pemain tengah, G.Puaneswaran.

Owona sekali berpeluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-62 namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol selepas ditepis oleh Farizal, yang juga penjaga gol kebangsaan.

Perak yang sesekali mengacah kubu tuan rumah juga hampa apabila percubaan mereka sering digagalkan oleh barisan pertahanan skuad Penyu yang diterajui Vincent Bikana.


Hujan yang mula lebat pada minit ke-76 sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan kedua-dua pasukan.

Sebaik sahaja hujan reda, tuan rumah yang dahagakan jaringan, terus mengasak ke kubu pelawat dan hampir menambah jaringan pada minit ke-87, namun tendangan percuma yang diambil oleh Ismail Faruqi Ash'ari berjaya ditepis keluar oleh Farizal.

Ketika tuan rumah berkira-kira hendak mahu kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini, tercetus pergaduhan melibatkan Ismail Faruqi dan pemain tengah Perak, Mohd. Nazri Mohd. Kamal.

Akibatnya, kedua-dua pemain itu terus menerima layangan kad merah daripada pengadil, Nagor Amin Noor Mohamed.
-teks utusan, gambar fb ganusoccer,net

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib