Thursday, 14 February 2013

Ibu Pelakon Catriona Ross maut kemalangan


Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki melanggar sebuah bas ekspres di Kilometer 61 Jalan Timur-Barat, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, mangsa Siti Zawiyah Abd Rahman, 60, Nurimi Abd Ghani, 40, dan Sitah Abdullah, 40, dipercayai dalam perjalanan menuju Sungai Petani, Kedah.

Allahyarham Siti Zawiyah merupakan ibu kepada pelakon Catriona Ross.

Pemandu kereta dipercayai suami salah seorang mangsa yang maut selamat dan dihantar oleh orang awam ke Hospital Gerik setelah mengalami kecederaan parah.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Hanafi Shafie berkata, ketiga-tiga mangsa terperosok dalam kenderaan yang terbabas di tepi longkang selepas bertembung dengan bas berkenaan.
 

"Kereta yang dinaiki mangsa dikatakan memasuki laluan bas sebelum berlanggar dan terbabas ke longkang berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kereta dinaiki mangsa masuk laluan bertentangan apabila cuba memotong deretan kereta di hadapannya.

“Mangsa gagal memotong lalu bertembung bas ekspres yang membawa 29 penumpang menghala ke Kota Bharu, Kelantan. Pada masa sama, bas tidak sempat elak ketika kejadian.

“Kereta dinaiki mangsa berpusing beberapa kali sebelum masuk ke dalam longkang. Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandunya parah dan dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya, di sini.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan tidak cedera dan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Keterangan mangsa diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Hanafi juga berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta terbabit parah dan dihantar ke Hospital Gerik oleh orang awam manakala, tiga lagi penumpang terperosok dalam kenderaan terbabit.

“Kereta terbabit terbabas ke tepi longkang berhampiran dan kita berjaya keluarkan ketiga-tiga mangsa yang berada di penumpang hadapan dan belakang. Operasi menyelamat tamat jam 2.40 pagi,” katanya.
 
Sementara itu, Catriona dalam laman sosial Facebooknya, meminta umat Islam menghadiahkan Al-Fatihah untuk arwah ibunya.

Beliau berkata, dia masih berduka dengan kejadian mengejut itu dan akan sentiasa merindui arwah.

“Pemergian seorang ibu tidak akan ada galang gantinya. Walaupun pemergiannya kerana nahas jalan raya, tetapi arwah kelihatan seperti insan yang lena dibuai mimpi. Saya akan sentiasa merinduinya,” kata Catriona dalam status Facebook beliau.

Dalam pada itu, Catriona memberitahu, jenazah ibunya dikebumikan di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.
-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib