Saturday, 16 February 2013

Hajat Berasmara Terbantut


Niat sepasang kekasih yang sanggup menaiki bas beratus kilometer untuk memadu asmara di Johor Bahru tidak kesampaian setelah ditahan dalam Ops Valentine di sebuah hotel bajet di Jalan Sultanah di sini, awal pagi semalam.

Ketika serbuan dilakukan pada jam 2.30 pagi itu, pasangan itu adalah pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit yang berusia 21 tahun itu mengambil masa hampir 10 minit dipercayai memikirkan cara untuk mengelak daripada ditahan namun akhirnya mereka akur membuka pintu selepas dipaksa pihak penguatkuasa.

"Setelah pintu dibuka, pemeriksaan dilakukan di dalam bilik dan mendapati pasangan terbabit turut membawa pelbagai buku dan komputer riba dipercayai untuk menyiapkan tugasan masing-masing.

“Pada mulanya, semasa pintu itu dibuka kami hanya melihat seorang lelaki sahaja, namun kemudiannya kami menjumpai seorang wanita yang mencurigakan di atas katil.

“Hasil soal siasat dan pemeriksaan dilakukan mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai ikatan perkahwinan sah dan memberi alasan singgah ke daerah ini untuk bercuti sebelum ke tempat lain.

“Kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya kepada Sinar Harian selepas operasi tersebut.

Menurut Saiful, pasangan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum dituntut waris masing-masing.

"Dalam kes seperti ini pengawasan dan keprihatinan penjaga atau ibu bapa sangat diperlukan bagi memastikan anak-anak pulang ke rumah ketika waktu cuti semester atau cuti umum bagi mengelak daripada berlakunya perkara tidak bermoral.
“Selain pengawasan daripada penjaga setiap pasangan kekasih juga dinasihati untuk tidak terjerumus dengan khalwat atau sebarang kegiatan tidak berfaedah demi masa depan masing-masing,” katanya.
-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib