Sunday, 3 February 2013

FAM Minta Nazmi Tampil Beri Penjelasan

“Saya mahu Nazmi (Faiz Mansor) tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar mengapa dia kembali ke negara ini,” itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad bagaikan tidak mengetahui langsung punca sebenar mengapa pemain kelab Beira Mar dari Portugal itu pulang mengejut ke Malaysia, semalam.

Azzuddin yang dihubungi meluahkan kekecewaannya kerana FAM tidak menerima sebarang maklumat sekalipun pihaknya sepatutnya mendapat penjelasan sebelum ia dapat dihidu pihak media.

“Saya tidak tahu menahu langsung mengapa dia pulang. Tiada sebarang maklumat langsung dari pihak kelab mahupun dari Nazmi sendiri. Setakat ini saya tiada perkembangan lanjut mengenainya. Apa yang mengecewakan saya ialah FAM menghantar Nazmi dengan cara baik tetapi ia berakhir begini.”

Begitupun, berita yang diambil daripada laman web rasmi kelab Beira Mar, beiramar.pt pada 29 Januari lalu mengatakan kelab Portugal itu sudah berhubung dan mendapat persetujuan mengenai pinjaman selama enam bulan yang sudah dipersetujui kedua-dua pihak.

“Soal pulang terus atau pinjaman selama enam bulan dan pasukan mana dia akan beraksi semuanya di luar pengetahuan FAM,” kata Azzuddin. “Oleh itu, saya mahu Nazmi tampil untuk menjelaskan keadaan sebenar.”

Nazmi, 19, menjadi pemain negara pertama yang berjaya menandatangani kontrak perjanjian selama tiga tahun bersama kelab Liga Divisyen Satu Portugal namun prestasinya setakat ini sekadar meletakkannya dalam skuad utama bawah 19 tahun pasukan itu.
Selain Nazmi, rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Ahmad Fakri Saarani turut menyertai kelab divisyen tiga Portugal, Atletico Sport Clube Reguengos.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib