Sunday, 10 February 2013

Bukan saya pilih pemain beraksi di Eropah - Butler

JURULATIH T-team, Peter James Butler menafikan diberi tanggungjawab memilih dua pemain untuk beraksi dengan kelab bola sepak Portugal, S.C. Biera- Mar secara kontrak seperti dilaporkan sebuah portal berita sukan semalam.
Sebaliknya jurulatih berkenaan memberitahu, hanya segelintir sahaja kenalannya di beberapa buah kelab bola sepak di Eropah bertanyakan tentang pemain Malaysia yang layak untuk dihantar ke sana.
Menurut Butler, beliau tidak terlibat langsung dengan perkara tersebut dan tanggungjawabnya hanyalah melatih pemain T-Team serta membangunkan pasukan itu sebelum boleh melakukan sebarang tugasan lain.
"Mereka (rakan jurulatih di Eropah) tanya saya ada tak pemain yang boleh saya cadangkan (hantar ke Eropah) dan saya kata, tanggungjawab saya hanya bersama T-Team serta melahirkan pemain-pemain yang hebat dan bukannya mencari pemain untuk diperkenalkan kepada rakan- rakan di Eropah.
"Saya juga beritahu mereka, kalau ada pemain T-Team yang cukup berkualiti, mental juga kuat, saya akan hantar mereka ke England bukan untuk kontrak tetapi untuk mendapatkan pengalaman sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi T-Team bertemu peminat di pasar raya Sabasun di Kuala Terengganu semalam.
Menurut Butler, mengenai pemain yang boleh dihantar berlatih bersama kelab di Eropah, ia perlu dilakukan penuh teliti, bukan sahaja dengan melihat prestasi permainan mereka tetapi perlu diuji dari segi mental agar mereka boleh menerima tekanan dari segenap segi.
"Saya tidak mahu malu (jika memilih pemain), sebab pemain kita mungkin ada bakat tetapi tidak kuat dari segi mental untuk bermain di sana.
"Jika ada kes seperti (Muhammad Nazmi Faiz), bukan hanya kita yang malu tetapi turut memalukan semua pihak," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib