Thursday, 21 February 2013

Bomoh cabul penuntut IPT dalam kereta

Gambar hiasan
Seorang bomoh ditahan dipercayai mencabul penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Persisiran Pantai Padang Keria Simpang Empat dekat sini, selepas memberi rawatan kepada seorang pesakit yang merupakan rakan mangsa, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, mangsa dikatakan pergi ke rumah rakannya yang sedang dirawat lalu diminta untuk menghantar pesakit ke pantai berhampiran untuk merawat penyakit yang turut diikuti bomoh terbabit dalam sebuah kereta.

Namun, selepas selesai memandikan rakannya yang berusia 19 tahun, bomoh itu menyuruh mangsa masuk semula ke dalam kereta tanpa memalingkan muka ke belakang.

Difahamkan, ketika berada di dalam kenderaan terbabit, bomoh berkenaan menghembuskan angin ke muka mangsa sehingga menyebabkan dia menjadi separuh sedar.

Mangsa berkata, bomoh itu cuba membuka butang seluarnya dan memegang kemaluannya.

Semasa kejadian terbabit, mangsa yang berumur 18 tahun itu seolah-olah tidak sedarkan diri dan hanya menyedari perbuatan bomoh terbabit apabila tiba di rumah sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berkenaan kelmarin dan seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan semalam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, rakan mangsa yang mendapatkan rawatan bomoh berkenaan tidak mengalami kecederaan.

“Suspek merupakan seorang lelaki yang bekerja sebagai bomoh ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga siasatan selesai dijalankan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman terbabit.-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib