Thursday, 21 February 2013

'Anak Setan' Terajang Ibu Dihukum 24 Bulan Penjara

 Perlakuan derhaka seorang anak mengugut dan membelasah wanita yang melahirkannya, mendapat balasan apabila dia dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor selepas pemuda yang berusia 27 tahun itu mengaku bersalah.

Muhammad Syaridan Awang Ahmad@Yusof didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan yang boleh membawa kematian kepada, Che Saniyah Che Soh, 55, di sebuah rumah di Kampung Kedai Buloh, Badang, 13 Januari lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, tertuduh sebelum itu meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah tetapi permintaan itu tidak dipenuhi lalu dia mengamuk dengan menyepak belakang serta menumbuk kepala wanita itu.

Ketika itu juga, dia turut menggunakan sebilah pisau mengugut hendak mencederakan Che Saniyah. Susulan kejadian itu, Che Saniyah membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh, hari sama.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh berikutan perlakuan luar batasannya itu.

Muhamad Hafiz kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkenaan berkuat kuasa daripada tarikh dia ditahan.-sinar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib