Wednesday, 6 February 2013

Alasan Tiada Pemain Utama - Rajagobal


Alasan tiada pemain tonggak terus meniti di bibir pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal, termasuk ketika sidang akhbar sehari sebelum perlawanan Malaysia-Qatar di Doha semalam.

Walaupun kerap menegaskan dia tidak mahu menjadikannya sebagai alasan, Rajagobal bagaikan kurang yakin dengan skuad yang dikumpulnya sendiri untuk perlawanan sulung Kumpulan D kelayakan Piala Asia kali ini. 

Kami tidak membawa 10 pemain ke sini dengan tujuh daripadanya adalah pemain tonggak, kata Rajagobal dalam sidang akhbar di Kompleks Sukan Al-Sadd berhampiran Stadium Jassim Bin Hamad yang menjadi gelanggang pertemuan dengan Qatar malam ini. 

Pemain-pemain kami baru dikumpulkan manakala Qatar pula sebuah pasukan baik dan kuat serta mempunyai ramai pemain handal di setiap bahagian. Rata-rata pemain Qatar berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan.

Ketika skuad Qatar berada pada momentum lebih baik selepas baru mengharungi Piala Negara Teluk, Rajagobal mengakui dia berada pada situasi berbeza kerana mempunyai tempoh singkat dalam mempersiapkan pasukan yang hanya sempat diuji dalam satu perlawanan persahabatan Jumaat lalu bertemu Iraq.

Saya baru memanggil pemain-pemain ini dan dalam tempoh singkat perlu mencari keseimbangan dalam pasukan, kata Rajagobal. Kami akan cuba memberikan tentangan terbaik menentang Qatar.

Pada perlawanan yang bakal menentukan hala tuju pasukannya dalam kempen kelayakan ini, Rajagobal sekadar meletakkan sasaran untuk menyaksikan anak buahnya mempamerkan aksi terbaik.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib