Saturday, 16 February 2013

Adibah Noor Regu Baru Halim Othman


SETELAH lama berseorangan, akhirnya, Halim Othman kini sudah bertemu ‘kekasih’ baharu bagi mengisi kekosongan dirinya selama ini. Setelah lama mencari dan dilamar, akhirnya, artis serba boleh, Adibah Noor bersetuju menjadi pasangan Halim Othman.
Namun, persetujuan Adibah bukanlah untuk menjadi pasangan hidup Halim, tetapi untuk bergandingan dalam segmen Ceria Pagi @ Suria bersama Halim iaitu sebagai ahli keluarga baharu stesen radio Suria FM.
Segmen yang bermula seawal pukul 5 pagi hingga 10 pagi itu kini dikendalikan oleh mereka berdua dan jelas kelihatan keterujaan di wajah Halim dan Adibah sendiri untuk bersama-sama menceriakan pagi pendengar setia mereka setiap Isnin hingga Jumaat.
Ketika mengadakan sidang akhbar yang bertempat di Pejabat Suria FM, Tropicana City Office Towers, Petaling Jaya, Selangor, Adibah dan Halim telah ke udara buat pertama kalinya pada 4 Februari lepas.
“Pemilihan Adibah Noor sebagai penyampai Suria FM adalah tepat. Selain daripada kredibilitinya sebagai penghibur, kami juga memilihnya kerana permintaan yang tinggi oleh para pendengar Suria FM sendiri. Apa yang menjadi keutamaan ialah keserasian bersama Halim Othman sendiri.
“Selain itu, kami juga dapat melihat keserasian Halim ketika Adibah menjadi jemputan segmen Ceria Pagi tidak lama dahulu. Kami melihat pakej yang ada, dan bagi kami, Adibah punya lebih daripada pakej yang dimahukan. Jadi, kami rasa ini ialah pilihan terbaik untuk tahun 2013,” jelas Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin.
Bagi Adibah pula, sememangnya dia sangat teruja menjalani karier dalam bidang yang masih hijau bagi dirinya ini. Menjadi penyampai radio, kata Adibah, merupakan impiannya sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya kini telah melibatkan diri dalam pelbagai bidang termasuklah menyanyi, berlakon, mengacara dan kini menjadi seorang penyampai radio. Rasanya, sebagai seorang penghibur, apa salahnya jika saya mencuba sesuatu yang baharu.
“Namun, bukanlah niat saya untuk meninggalkan bidang yang diceburi sebelum ini, akan tetapi, bertujuan untuk mewarnakan lagi perjalanan karier saya sebagai seorang anak seni tempatan,” bicara Adibah yang menerima tawaran Hot FM sebagai penyampai radio untuk untuk mencabar dirinya sendiri.
Tambah wanita yang sentiasa ceria ini, sudah lama sebenarnya Suria FM menyatakan hasrat untuk mengambil dirinya sebagai penyampai di stesen radio popular itu, namun lamaran tersebut dianggap sebagai gurauan memandangkan percakapan yang bersahaja dan tidak formal.
“Bagaimanapun setelah diberitahu secara rasmi, baru saya percaya, bahawa Suria FM benar-benar ingin ambil saya sebagai penyampai radio. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana memberi peluang kepada saya.
“Mengenai kontrak, untuk permulaan, hanya enam bulan. Ini kerana, saya masih tidak begitu yakin dengan diri saya dan beri peluang kepada pihak Suria FM untuk menilai saya. Mungkin jika mereka berpuas hati, kami akan berbincang semula,” jelas Adibah yang turut memberitahu, pada awal perbincangan, dia ditawarkan kontrak selama setahun.
Mengulas mengenai gandingan baharunya bersama Adibah, ujar Halim, dia sangat mengagumi Adibah dan menganggap ia sebagai sebuah penghormatan dapat bekerja bersama.
“Saya rasa Adibah mempunyai banyak isi dalam setiap penyampaiannya dan bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja. Gandingan kami masih baharu, dan saya serta Adibah akan sama-sama jelajah apa yang kami perlu lakukan kelak,” ujar Halim.
-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib