Tuesday, 5 February 2013

(5 Gambar) Terharu Dihargai Peminat - Aaron Aziz

FENOMENA Ombak Rindu yang bermula daripada senaskhah novel, yang kemudiannya diangkat menjadi sebuah filem, bakal diteruskan melalui pementasan teater.

Namun, teater tersebut ditunda daripada tarikh asal pementasannya berikutan jadual heroin utamanya yang padat.

Pelakon utama yang memegang watak Hariz, Aaron Aziz nyata menyerahkan sepenuhnya keputusan terhadap pementasan itu kepada pihak penerbit.

“Pada saya, terserah kepada pihak penerbit untuk membuat... lagi-lagi Kak Erma (Erma Fatimah) yang nak buat.

“Saya tak kisahlah, cuma jadual dengan masa, sebab (perlu fokus) untuk pementasan teater ini,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di Karnival Karangkraf, semalam.

Gerai Media Hiburan diserbu peminat bagi merakamkan gambar bersama pelakon popular itu.

Sebelum itu, Aaron menjadi juri bagi Talentime Muara Hati anjuran Media Hiburan dan melancarkan buku poster Super Hot Aaron Aziz.

Bercakap soal pementasan teater Ombak Rindu itu lagi, Aaron tidak mahu menghampakan penonton yang datang menonton selain bimbang mesej yang cuba disampaikan tidak sampai kepada penonton.

“Nak kena betul-betul, sebab memang tak nak hampakan penonton. Orang bandingkan filem dengan teater. Oh, filem bagus tetapi teater tak bagus, jadi kita kena buat ‘homework’ betul-betul.
                                       
                                
                                                 
“Jadi, apabila orang sudah membezakan, itu sudah menjadi satu masalah. Jadi, saya tak tahulah. Kalau teater itu, penonton dapat tak ‘mood’ yang cuba disampaikan pelakon,” katanya yang kini dalam dalam proses membuat penggambaran muzik video lagu Salam Semua dan juga 'soundtrack' untuk filem Lari.

Ketika ditanya soal kemungkinan teater itu untuk terus mencipta fenomena seperti versi filemnya, Aaron akui tidak tahu.

“Saya tak tahu sebab untuk teater, saya tak tahu. Kalau filem mungkin, bila perlu ‘close up’, penonton dapat rasa (emosi), dapat sampai rasa itu tetapi kalau dalam teater, penonton duduk jauh dan mungkin tak sampai ‘mood’ itu,” katanya.

Tahun lalu, Aaron turut menyanyi dalam lagu Salam Semuanya nyanyian kumpulan Sleeq.

Aaron menafikan dirinya menyanyi dalam lagu tersebut.

“Terus terang saya bukan menyanyi. Saya bercakap. Kalau dengar pun bukan saya menyanyi pun sebab saya tak pandai menyanyi.

“Saya dah terbitkan album itu, mereka (Sleeq) kata ada satu lagu tentang saya, takkan nak suruh orang lain nyanyi. Jadi, saya kata, tak mungkinlah saya menyanyi sepenuhnya,” katanya.

Sleeq merupakan artis di bawah naungan syarikat Aaron, Aaron Aziz Production.

Meskipun pelakon kacak ini sudah beristeri dan dikurniakan tiga orang anak, popularitinya tetap tidak dinafikan sejak kemunculannya.

“Saya rasa ini rezeki anak-anak, rezeki isteri... rezeki dari ALLAH. Apa yang saya buat ini demi ‘passion’ saya terhadap industri.

“Memang niat saya masuk dalam industri ini pun bukan nak jadi popular. Memang niat saya nak belajar pasal seni. Jadi, ini semua ganjaran dari ALLAH bagi saya,” katanya yang sempat berterima kasih kepada semua sokongan peminat terhadapnya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib