Monday, 14 January 2013

Zizan Razak Hargai Sokongan Peminat


Bermula dari program realiti pencarian bakat pelawak, Raja Lawak Astro musim pertama, Zizan Razak nampaknya tidak menoleh ke belakang lagi. Selepas enam tahun membina nama akhirnya bakat besar pelakon, pelawak dan pengacara terkenal ini berjaya membuka mata ramai pihak sekali gus menjadi rebutan pengarah drama serta filem di luar sana.
Terkini, tuah terus menyebelahi anak kelahiran Terengganu ini apabila berjaya mendominasi senarai Top 5 membabitkan sebanyak lapan pencalonan termasuk lima kategori ‘online’ sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012.

Ia membabitkan tiga kategori utama, Pengacara TV Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular bersaing dengan Bintang Paling Popular 2011, Aaron Aziz, Adi Putra, Shaheizy Sam dan Bront Palarae. Manakala, lima lagi kategori online ialah Watak Jahat Dalam Filem atau Drama Popular, Gandingan Di Layar Serasi (bersama Johan Raja Lawak), Artis Berpengaruh Di Laman Media, Artis Lelaki Stailo dan Artis Asia Paling Popular.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak berkata, dia bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang seni ketika ini.

“Semuanya berkat doa yang tidak pernah putus supaya diri diterima peminat seperti sekarang. Apa yang penting, saya ikhlas menjadi anak seni. Saya juga tidak memiliki kelulusan yang tinggi dan hanya bersandarkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja. Sebab itu saya perlu buat betul-betul supaya orang terhibur setiap kali melakukan persembahan.

“Dari segi kalah atau menang pada ABPBH 2012, semuanya terserah pada undian peminat. Jika saya menang, ia juga kejayaan mereka yang mengundi saya. 

“Saya melihat kemenangan dalam ABPBH juga penting dalam membantu melariskan seseorang artis itu.

Namun, sebagai artis tanggung-jawab saya ialah terus bekerja keras dan berikan yang terbaik untuk kepuasan diri dan peminat,” katanya.
                              


Zizan ditemui pada majlis pengumuman senarai Top 5, ABPBH 2012 yang berlangsung di Hotel Holiday Villa & Suites, Subang di sini, baru-baru ini. Tidak dapat dinafikan kata Zizan, agenda seninya cukup padat sepanjang tahun ini.

“Saya akui tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon dan mengacara dari pelbagai pihak. Kalau boleh saya ingin menjaga hati semua orang dan menerima semua tawaran yang datang.

“Tapi saya takut ia akan menimbulkan masalah pada saya jika tidak dapat memberikan komitmen pada pihak terbabit. Terus terang, saya tidak ingin dikaitkan dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik dalam bidang seni.

“Pada masa sama, saya juga tidak mahu tamak merebut semua tawaran yang datang tanpa memikirkan kemampuan diri.

“Maklumlah, sekali kita melakukan kesilapan itulah yang orang nampak kerana mereka tak tahu perjalanan karier seni saya macam mana. Tapi perkara baik yang kita lakukan orang tak nampak pula,” katanya.

Selain sibuk dengan persiapan dalam program Maharaja Lawak Mega 2012, (MLM) Zizan juga akan terbang ke Gold Coast, Australia untuk menjayakan sesi fotografi bersama majalah Santai selama lima hari. Menyusul selepas itu, dia bakal menjayakan penggambaran komersil di London untuk satu produk makanan.

Diminta mengulas dakwaan yang mengatakan dirinya kini lebih cenderung ke arah keagamaan, Zizan berkata, dia masih seperti dulu.
                              
“Saya hanya berkongsi dengan peminat apa yang saya tahu. Tidak salah, jika saya kongsi apa yang saya tahu untuk kebaikan orang lain,” katanya. 

Menyentuh sisi peribadinya pula, kata Zizan yang pernah dikaitkan dengan pelakon Juliana Evans, dia akui masih berhubung dengan pelakon berdarah kacukan yang kini menuntut di Universiti Michigan, Amerika Syarikat.

“Memang kami ada berhubung tapi jarang kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sedia ada. Dia juga tumpang gembira dengan pencapaian saya dalam karier seni sekarang,” katanya.

Zizan sahut cabaran final MLM 2012 kemungkinan tanpa Johan

Bukan mudah untuk beraksi secara solo dalam MLM 2012 tanpa gandingan mantapnya, Johan. Namun, itulah yang terpaksa dilakukan anggota kumpulan Jozan ini apabila Johan tidak dapat beraksi dalam MLM 2012 kerana dimasukkan ke hospital, baru-baru ini.

“Saya akui ia bukan tugas mudah kerana kami sentiasa berdua dalam persembahan sebelum ini. Apapun, saya melihat ketiadaan Johan ada kebaikannya juga kerana mengajar erti berdikari dalam persembahan.

“Sebab itu saya menangis sebelum ini selepas persembahan solo selesai kerana sedar sukarnya untuk buat orang ketawa. Justeru, bila saya berjaya buat orang ketawa dan terhibur dengan persembahan solo itu, saya terus berasa sebak yang lain macam. Kini, saya sangat menghormati pelawak yang boleh beraksi secara solo kerana ia bukan tugas mudah.

“Cabaran sangat terasa kerana jika sebelum ini kami kongsi idea untuk beri yang terbaik pada Jozan tetapi kini semuanya saya terpaksa lakukan secara solo. Ia terpulang pada saya sama ada mampu atau tidak untuk melakukannya.

“Saya juga tidak tanya pendapat Johan dari segi persembahan solo dalam MLM kerana saya tidak mahu mengganggu dirinya yang masih dirawat di hospital,” katanya.
Pada masa sama, kata Zizan, dia juga tidak tahu sama ada akan beraksi bersama Johan atau tidak pada peringkat akhir, MLM 2012 yang bakal menjelang kira-kira dua minggu lagi.
“Semuanya bergantung pada tahap kesihatan Johan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib