Wednesday, 2 January 2013

Usaha kerajaan Terengganu atasi masalah lampu limpah stadium dapat pujian Peteh


Keprihatinan kerajaan negeri Terengganu dalam mengatasi masalah pencahayaan lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini, mendapat reaksi positif terutamanya dari kalangan penyokong pasukan bola sepak negeri.

Setiausaha Kelab Penyokong Terengganu (Peteh) Wan Mohd Azmi Wan Ngah menyifatkan langkah itu bukan sahaja dapat memberi keselesaan kepada penonton bola sepak, malah rakyat yang menggunakan stadium tersebut.

"Kami (Peteh) mengucapkan terima kasih khususnya kepada Menteri Besar yang begitu prihatin dengan masalah lampu limpah stadium serta mendengar keluh-kesah penyokong bagi memberi keselesaan terhadap kami," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Wan Mohd Azmi usaha kerajaan negeri itu bertepatan lebih-lebih lagi ketika menjelangnya saingan bola sepak Liga Malaysia, bermula 9 Jan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad said semalam mengumumkan Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM4 juta untuk memasang lampu baharu termasuk mendirikan empat tiang di empat penjuru stadium bagi meningkatkan pencahayaannya.

Bagaimanapun usaha tersebut akan mengambil tempoh selama tiga bulan untuk disiapkan sebelum stadium berkenaan dapat digunakan bagi perlawanan bola sepak di sebelah malam.

Ini berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak meluluskan perlawanan Liga Malaysia diadakan di SSINS pada waktu malam kerana pencahayaan lampu stadium tidak mencapai piawaian iaitu 1,200 lux.


Di bawah pengubahsuaian itu, kuasa lampu di SSINS akan ditingkatkan daripada 1000 lux kepada 1400 lux untuk jangka panjang kerana pencahayaanya akan ini akan berkurangan dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd Azmi berkata, Peteh telah pun secara rasmi diiktiraf oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai kelab penyokong rasmi Terengganu. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib