Wednesday, 9 January 2013

Tok Gajah Amuk Harimau Selatan


Pahang membuktikan status bukan ukuran apabila mengejutkan barisan bintang Johor Darul Takzim 3-2 pada aksi Liga Super 2013 di Stadium Darul Makmur, semalam. Mohd. Fauzi Roslan muncul wira Tok Gajah apabila menjaringkan dua gol penting tuan rumah pada minit-minit ke-48 dan 72 sebelum R. Surendren melengkapkan kemenangan pada minit ke-82.

Sekalipun dikejutkan dengan jaringan awal pelawat, tuan rumah tidak panik, sebaliknya pertukaran taktikal oleh jurulatih Dollah Salleh pada babak kedua ternyata membuahkan hasil. Pahang yang turun sebagai pasukan bukan pilihan hampir membuka jaringan menerusi pemain importnya, Nikolce Kleckarouski seawal minit kesembilan, namun jaringan itu dibatalkan.

Walaupun mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan, namun barisan serangan pasukan tuan rumah yang diketuai Jalalludin Jaafar gagal menembusi gawang pasukan Harimau Selatan. Kealpaan pertahanan skuad Tok Gajah akhirnya membawa padah apabila kapten Harimau Selatan, Syafik Rahim meletakkan Johor Darul Takzim di hadapan selepas menanduk kencang bola hantaran Daniel Guiza pada minit ke-10.

Tuan rumah bagaimanapun mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24, namun bola sepakan Mohd. Faizol Hussein melepasi palang gol. Pahang sekali lagi dihukum apabila sepakan leret Guiza kepada Norshahrul Idlan Talahan mudah disudahkan oleh bekas pemain Kelantan itu pada minit ke-25.

Tok Gajah yang kembali bersemangat dengan permainan lebih kemas pada babak kedua akhirnya berjaya merobek gawang lawan menerusi Mohd. Fauzi Roslan pada minit ke-66 dan 72. Ketika benteng Pahang diasak bertubi-tubi, R. Surendren bijak mencari ruang untuk melengkapkan kemenangan Pahang pada minit ke-82. Cemas ketinggalan, Harimau Selatan memasukkan Safee Sali pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi tidak berjaya mengubah kedudukan sehingga wisel penamat.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib