Monday, 14 January 2013

Tiga kereta hangus dibakar


Tiga kereta hangus terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat mengakibatkan kerugian lebih RM200,000, manakala tiga lagi mengalami kerosakan dalam kejadian di tempat letak kereta Taman Jade, Bukit Gambir, pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 5 pagi di tingkat tiga parkir bertingkat pangsapuri itu mengakibatkan sebuah kereta Honda City, Perodua Myvi dan Proton Satria hangus, manakala Proton Waja, Proton Iswara dan Proton Wira berdekatan rosak selepas terkena bahang api terbabit. Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati, kebakaran itu dipercayai berlaku akibat perbuatan khianat kerana wujud kesan simbahan bahan bakar terhadap kereta Honda City hingga menyebabkan api marak ke kenderaan berdekatan.
Menurutnya, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Perak dipanggil bagi membantu memadamkan kebakaran terbabit.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 453, Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerugian dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Pegawai Bomba Kanan Yusni Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.12 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan enam anggota bomba dan sebuah jentera.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib