Saturday, 5 January 2013

T-team Bakal Beri Saingan Liga Malaysia 2013



JIKA diambil kira persembahan mereka ketika menentang Terengganu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, Ahad lalu, T-Team dijangka dapat pergi jauh dalam saingan Liga Super musim baru ini.
Walaupun hanya mencatat keputusan seri 2-2, prestasi pemain Titans jelas menunjukkan prospek kemampuan pasukan bimbingan ketua jurulatih, Peter Butler. 
Jurulatih berbangsa Inggeris itu sudah mampu tersenyum melihat semangat dan komitmen tinggi ditunjukkan oleh barisan pemain muda yang mampu berganding baik dengan beberapa pemain berpengalaman seperti bekas pemain antarabangsa Belanda, George Boateng dan bekas pemain kebangsaan Republik Ireland, Caleb Folan.

“Walaupun pasukan Titans dibarisi hampir semua pemain baru namun sudah nampak keserasian di antara mereka dan dua gol yang dijaringkan oleh Latif (Suhaimi) dan Caleb di separuh masa pertama membuktikan pemain saya tidak akan ketandusan gol dalam saingan Liga Super nanti.

“Itupun penyerang harapan kami Syamim (Yahya) dan Fazuan (Abdullah) tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu kerana demam, jika tidak barisan hadapan kami akan lebih menyengat lagi,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu.

Butler yang juga pengurus pasukan, mengaku bekas pemain Johor, Syamim, dan bekas pemain Kuala Lumpur, Fazuan, masih belum menempa nama dalam liga Malaysia namun dia yakin kedua pemain itu akan dikenali ramai musim baru ini.

“Memang kami tidak mempunyai nama besar bola sepak dalam pasukan kecuali pemain import namun kami percaya skuad yang kami ada sekarang mampu bersaing dengan mana-mana pasukan dalam liga tertinggi negara ini.

“Kami juga yakin barisan pertahanan akan bertambah kukuh apabila bekas kapten Terengganu, Marzuki (Yusof) yang sekarang ini sudah menyertai kami pulih sepenuhnya daripada kecederaan apabila musim baru bermula Selasa ini,” katanya.

Butler yang sebelum ini mengendali pasukan Terengganu berkata beliau tahu kebolehan sebenar Marzuki dan pemain pertahanan itu mampu memikul tanggungjawab memimpin pasukan Titans seperti yang dilakukannya dengan pasukan Penyu sebelum ini.

“Buat masa ini, tugasan ketua pasukan diserahkan kepada George dan bekas pemain Aston Villa itu nampaknya tidak mempunyai masalah memikul tugas itu kerana semua pemain menghormatinya sebagai pemain paling senior dalam pasukan.

“Caleb juga sudah selesa berganding dengan pemain bahagian serangan dan gol jaringannya ketika menentang Terengganu jelas menampakkan keserasiannya beraksi dengan Latif yang menjaringkan gol pertama dalam perlawanan itu.

“Apa yang penting, Titans kini bersedia untuk menghadapi saingan liga musim baru dan kami sudah tidak sabar untuk memulakan tugas di Lumut, Perak Selasa ini,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib